Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
6 kriteria perlu dipenuhi sebelum PKP ditarik balik

Terdapat enam kriteria yang perlu dipenuhi sebelum kerajaan boleh membuat keputusan menarik balik perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, empat kriteria itu adalah kawalan sempadan, kawalan pergerakan, sistem kesihatan, dan perlindungan kumpulan berisiko tinggi.

Dua kriteria yang lain adalah kerjasama rakyat dengan mengamalkan penjarakan sosial, kebersihan tangan dan mengelakkan mana-mana perhimpunan serta pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dalam masyarakat.

"Kita sedang memantau data-data, belum buat sebarang keputusan MCO disambung atau tidak.

"Tapi apa yang pasti kita ada enam kriteria sebelum kita laksanakan untuk tamatkan PKP. 

"Antara krireria yang pertama, kita lihat pada kawalan sempadan. Kalau kita hentikan kawalan sempadan, maka ada besar kemungkinan mereka yang datang ke Malaysia akan bawa penyakit tersebut," katanya.

Noor Hisham menjawab soalan pemberita sama ada kerajaan akan mengikut jejak langkah Indonesia yang melarang aktiviti 'balik kampung' semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Kriteria pertama, beliau berkata adalah penting untuk mempunyai kawalan sempadan bagi mengelakkan kes import merebak ke negara ini.

Katanya, terdapat juga risiko kes import dibawa oleh rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara. 

Menurut Noor Hisham, setakat ini, 95 daripada mereka telah disahkan positif setakat ini, termasuk 68 orang yang baru pulang dari Indonesia. 

"Kedua, kawalan pergerakan. Kita cuba elakkan jangkitan dari satu individu ke individu yang lain.

"Kalau kita duduk di rumah kebarangkalian kita untuk dijangkiti adalah kurang, tetapi kalau ada kesesakan, perhimpunan contohnya ada kebarangkalian untuk dijangkiti," katanya.

Kriteria ketiga adalah sistem penjagaan kesihatan, termasuk keupayaan makmal KKM mengesan kes Covid-19, serta kemudahan yang mencukupi seperti katil hospital dan unit rawatan rapi (ICU) untuk menempatkan pesakit.

Menurut Noor Hisham, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan standard antara 24 dan 48 jam untuk proses ujian pengesanan. Kementerian Kesihatan, katanya melakukan proses itu kurang daripada 24 jam.

Keempat, katanya adalah untuk melindungi mereka yang berisiko tinggi seperti golongan berusia, golongan kelainan upaya (OKU), mereka yang mendapat rawatan kemoterapi, dan mereka yang mempunyai penyakit komorbiditi (menghidap dua penyakit atau lebih serentak).

"Yang kelima, ialah rakyat kita kena amalkan norma-norma yang baru iaitu penjarakan (sosial), cuci tangan dan elakkan perhimpunan.

"Keenam, kena lihat bagaimana kita dapat kenalpasti kawasan dan dapatkan komuniti bersama dengan KKM untuk laksanakan langkah-langkah pencegahan dalam komuniti tersebut," katanya.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS