Polis telah menyiapkan siasatan mengenai kes penahanan dua orang peguam oleh pihak polis dan menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara (AG) untuk tindakan lanjut.

Presiden Majlis Peguam YeoYang Poh berkata, perkara itu diberitahu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar dalam satu pertemuan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi.

Dua peguam berkenaan ialah S Balasubramaniam (foto) dan V Raja Singam yang telah dikasari dan ditahan oleh pihak polis.

Selain Yeo, hadir sama ialah Setiausaha Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, Vazeer Alam (Bendahari), Lim Chee Wee (ahli majlis) dan Rajen Devaraj (Pegawai Eksekutif bagi Jawatankuasa Promosi Amalan Terbaik oleh Pihak Berkuasa).

Yeo berkata, pihaknya tidak puas hati dengan penahanan peguam Balasubramaniam dan Raja Singam kerana tindakan tersebut dianggap cuba menganggu tugas peguam.

"Hasil pertemuan tersebut juga, polis telah melantik seorang pegawai perhubungan bagi membolehkan Majlis Peguam membuat aduan jika peguam ditahan polis ketika menjalankan tugas," katanya kepada wartawan selepas bertemu Mohd Bakri.

Berlaku pertengkaran

Balasubramaniam ditahan oleh dua anggota polis ketika beliau mahu berjumpa dengan lelaki yang ditahan dalam serbuan polis di sebuah restoran di Petaling Jaya pada 18 April lalu.

Menurutnya, selepas berlaku pertengkaran, beliau telah ditahan selama tiga jam di balai polis tersebut.

Yeo (foto) berkata, dalam pertemuan tersebut, Majlis Peguam juga membangkitkan isu mengenai perlunya negara mempunyai pasukan polis yang berkesan dan bebas daripada rasuah.

Bagaimanapun, katanya, beliau faham dengan suasana pekerjaan polis yang dibebani tugas dan masa pekerjaan yang lama tanpa bayaran kerja lebih masa.

Sebelum itu, kira-kira 50 peguam berarak dari perkarangan mahkamah di Jalan Raja menuju ke Bukit Aman dengan membawa sepanduk yang bertulis `hormati peguam' sebagai tanda bantahan terhadap penahanan peguam tersebut.

Peguam Raja Singam pula ditahan pada 1 Mac kerana mendakwa menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Lindungi hak rakyat

Raja Singam dilaporkan berkata beliau telah digari dan kemudiannya dipukul oleh pihak polis. Dia kemudiannya didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan kerana engganmenjalani ujian air kencing.

Selepas didakwa di mahkamah dan dibebaskan dengan ikatjamin, Raja Singam telah ditahan semula atas tuduhan mengugut polis.

Sementara itu, seorang peguam, N Surendran yang menyertai perarakan tersebut berkata, tugas peguam ialah melindungi hak rakyat.

Katanya, peguam merasa amat marah dengan tindakan polis menahan peguam kerana peguam hanya menjalankan tugas untuk pelanggan mereka.

"Kami mahu Mohd Bakri tahu bahawa polis tidak boleh mencampuri urusan peguam yang hanya menjalankan tugas," katanya lagi.