Lim: Isytihar parlimen sebagai perkhidmatan penting
Pemimpin berpengaruh DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan mengisyhtiharkan parlimen sebagai perkhidmatan penting.
Anggota parlimen Iskandar Puteri turut mencadangkan persidangan maya parlimen selama 10 hari selepas titah pembukaan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Mei.
Setakat ini sidang parlimen dijadualkan hanya sehari pada tarikh itu.
Lim berkata, parlimen patut diisytihar sebagai perkhidmatan penting tidak kira sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini dipanjangkan atau tidak.
“Parlimen patut diisytihar sebagai perkhidmatan penting supaya ia boleh memainkan peranan penting menentukan usaha kerajaan melawan krisis kesihatan awam dan ekonomi susulan pandemik Covid-19 berkesan.
“Dan untuk menggalakkan setiakawan dan perpaduan nasional ketika krisis,” katanya.

