IPCMC: Wakil Pemuda PAS bidas pucuk pimpinan parti
Seorang perwakilan PAS hari ini membidas sikap pucuk pimpinan parti itu yang menurutnya lembab dan tidak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan penubuhan Surahanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).
Seorang perwakilan PAS hari ini membidas sikap pucuk pimpinan parti itu yang menurutnya lembab dan tidak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan penubuhan Surahanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).
Wakil Dewan Pemuda PAS, Abdullah Karim kesal apabila Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mengkritik pucuk pimpinan PAS kerana tidak menyatakan pendirian yang jelas behubung isu IPCMC apabila lamanweb PDRM menyiarkan bahawa polis mahu menyokong pembangkang jika badan pemantau itu ditubuhkan.
"Saya berasa kesal apabila terbaca kenyataan Kit Sing itu di dalam malaysiakini.,"katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden petang ihni.
Beliau juga membangkitkan mengapa pucuk pimpinan PAS tidak menghadiri sebuah forum mengenai IPCMC yang dianjurkan oleh sebuah badan bukan kerajaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Sepatutnya pucuk pimpinan menghantar wakil mereka, sekurang-kurangnya seorang ahli jawatankuasa pusat perlu hadir,"ujarnya.
Abdullah juga membidas pucuk pimpinan PAS yang bersikap elitis kerana hanya pandai bercakap tetapi tidak sanggup bersama rakyat turun berdemonstrasi memperjuangkan hak rakyat.
Sebagai contoh katanya, dalam demonstrasi membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik baru-baru ini, tiada pemimpin utama PAS 'turun padang'.
Turun padang
"Kalau pemimpin tidak menunjukkan contoh yang baik, bersikap elitis, bagaimana hendak dipulihkan demokrasi," tegasnya.
Menurut wakil Dewan Pemuda itu, semua pucuk pimpinan perlu turun bila ada perhimpunan yang membabitkan rakyat dan isu-isu besar.
"Pucuk pimpinan PAS tidak boleh memilih isu-isu tertentu sahaja untuk bersama rakyat. Tidak dinafikan
pucuk pimpinan kita turun berdemonstrasi dalam isu karikatur menghina Nabi, tetapi itu tidak mencukupi. Pemimpin perlu bersama penyokong untuk menyatakan pendirian dalam semua isu,"katanya lagi.
Abdullah berkata, beliau bimbang jika pemimpin PAS tidak bersungguh-sungguh memperjuang hak asasi rakyat dan memulihkan demokarsi, kumpulan lain yang sekular dan liberal akan menjuarainya.
Wakil Dewan Pemuda itu juga menggesa pucuk pimpinan supaya menetapkan halatuju yang jelas untuk diikuti oleh pemimpin dan ahli di peringkat kawasan dan cawangan.
Katanya, agenda parti sering kali idak sampai ke akar umbi walaupun tekad atau resolusi telah dibuat di peringkat Pusat,"ujarnya.

