Menteri Kabinet berdiri teguh dengan memberikan sokongan padu mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menerima kritikan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau percaya setiap pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia telah melakukan perkara yang terbaik mengikut keadaan dan situasi pada ketika itu.

Katanya, Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri telah melakukan yang terbaik untuk negara.

Begitu juga pada masa ini di mana Perdana Menteri sekarang iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membuat apa yang terbaik untuk negara.

"Oleh itu, semua pihak patut memberi sokongan padu kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri, lebih-lebih lagi beliau telah mendapat mandat dan amanah besar rakyat dalam pilihanraya lalu," katanya.

Menurut laporan Bernama, Najib yang kini dalam lawatan rasmi ke India, berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kritikan Dr Mahathir terhadap Abdullah secara terang-terangan yang dibuat kepada media di sini Rabu.

Dalam sidang akhbar semalam, Dr Mahathir membuat kritikan paling keras setakat ini terhadap kerajaan dengan mendakwa ia telah melanggar janji untuk meneruskan keputusan yang telah dibuat oleh pentadbiran yang dipimpinnya sebelum ini.

Keputusan kolektif

Bekas Perdana Menteri itu secara terus terang meluahkan segalanya mengenai hubungannya yang agak tidak sekata dengan kerajaan sekarang yang berpunca daripada beberapa isu penting termasuk pembatalan cadangan projek pembinaan sebuah jambatan bagi menggantikan tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Menurut Najib, semua keputusan yang dibuat kerajaan adalah secara kolektif dan konsensus jemaah menteri mengikut keadaan dan fakta semasa.

"Maka Perdana Menteri tidak harus dibeban secara peribadi atas semua keputusan yang dibuat kerajaan," katanya, sambil menegaskan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Abdullah dan tetap bersama-sama perdana menteri itu dalam memimpin negara.

"Oleh itu saya merayu kepada semua pemimpin dan anggota parti dan setiap rakyat untuk memberi sokongan penuh kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri. Jasa-jasa Tun Mahathir kepada negara juga akan sentiasa dihargai dan dikenang oleh kita," katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting pula berkata parti itu yang mewakili masyarakat Cina di negara ini menyokong penuh kepimpinan Abdullah.

"Kita mahu berdiri teguh di belakang Perdana Menteri kita Datuk Seri Abdullah seperti kita menyokong Tun Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri," kata Ong.

"Sebagai anggota kabinet, menteri-menteri MCA sepakat dalam membuat keputusan demi kepentingan terbaik negara. Datuk Seri Abdullah tidak seharusnya dipersalahkan bagi sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan," katanya kepada Bernama Rabu.

MCA sokong penuh PM

MCA, katanya berkeyakian penuh dalam kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Parti itu mempunyai empat menteri kabinet termasuk beliau sendiri (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Chua Soi Lek (Kesihatan), Datuk Seri Dr Fong Chan Ong (Sumber Manusia) dan Datuk Seri Chan Kong Choy (Pengangkutan).

Dalam pada itu, Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) menyatakan pendirian teguhnya di belakang Abdullah.

Pemangku pengerusinya Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata BNBBC akan terus menyokong Abdullah dalam apa jua situasi demi menjaga kepentingan rakyat dan negara.

"Dan kami tidak meragui corak dasar kepimpinan Perdana Menteri kerana beliau lebih melihat kepentingan rakyat dan negara dan kami menyokong penuh segala dasar dalaman atau luaran yang beliau terapkan terutama sekali dalam menjamin kestabilan politik dan keamanan sejagat," kata beliau.

Menurut Raja Ahmad, dalam tempoh Abdullah memerintah negara, beliau telah melaksanakan banyak perubahan yang meyakinkan walaupun dasar dan pendekatan yang beliau gunakan itu berlainan daripada polisi dan pendekatan bekas Perdana Menteri itu.

Di Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri dan Umno negeri melahirkan sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

"Kita berkeyakinan penuh terhadap kepimpinannya," kata beliau yang juga Pengerusi Umno negeri.