Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berhajat untuk menubuhkan sebuah parti politik ataupun membenarkan dirinya dipergunakan oleh mana-mana pihak, termasuk PAS yang dilaporkan meminta beliau menjadi ketua pembangkang negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau gembira dengan kedudukannya sekarang sebagai seorang pesara.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menimbang menubuhkan sebuah parti politik, Dr Mahathir berkata: "Tidak sekali-kali. Semasa saya disingkir daripada parti (Umno) dahulu, saya tetap setia kepada parti.

"Dan saya tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan pembangkang, bukan atas sebab emosional, tetapi semata-mata kerana saya berpendapat mereka tidak menyumbang apa-apa kepada negara ini.

"Jadi saya tidak akan menubuhkan parti sendiri. Saya gembira dengan kedudukan saya sekarang, sebagai seorang pesara," kata Dr Mahathir kepada pemberita pada taklimat mengenai satu forum keamanan di Putrajaya.

Ketua pembangkang

Ditanya mengenai tawaran Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub sewaktu perasmian muktamar tahunan pergerakan itu di Alor Star Isnin lalu supaya bekas Perdana Menteri itu menjadi ketua pembangkang, Dr Mahathir berkata:

"Saya tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan PAS kerana saya berpendapat ia tidak langsung merupakan sebuah parti Islam. Ia satu bentuk penyelewengan daripada ajaran Islam," katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai satu forum keamanan di Putrajaya.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun sebelum berundur pada 2003, berkata apa yang PAS hendak lakukan sebagai sebuah parti (menubuhkan sebuah negara pemerintahan Islam) tidak praktikal di negara ini.

"Mereka fikir mereka boleh mempergunakan saya tetapi saya tidak berhajat untuk dipergunakan oleh sesiapa saja," katanya.