‘Buat petisyen lobi calon mufti budaya tak sihat’
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menyifatkan tindakan melobi calon mufti, antaranya melalui petisyen sokongan, sebagai budaya tidak sihat.
Katanya pelantikan jawatan mufti Wilayah Persekutuan adalah kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong dan petisyen awam yang dibuat membelakangkan perkara itu, lapor Harakahdaily.
“Adalah satu budaya yang sangat tidak sihat dengan adanya undi sokongan, petisyen dan sebagainya.
“Itu bukan amalan biasa.
“Kita harap perkara itu perlu dihentikan, kerana ia bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tunai dan barangan beberapa pihak kepada Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, semalam.
Jawatan mufti Wilayah kosong selepas penyandangnya Zulkifli Mohama dilantik sebagai menteri agama.
Laporan itu tidak menyebut petisyen itu secara langsung.
Bagaimanapun, setakat ini terdapat petisyen yang melobi pendakwah bebas, Habib Ali Zaenal Abedin al-Hamid ke jawatan itu.
Setakat laporan ini ditulis, petisyen atas talian itu ditandaanani lebih 42,000 orang.
Habib Ali bagaimanapun berkata terdapat ramai lagi ilmuan yang lebih layak dan pakar dalam bidang fikah dan usul fikah berbanding beliau.
Lobi ke jawatan itu dilihat mempunyai kaitan dengan pertembungan aliran agama.
Setakat ini beberapa nama lagi dikaitkan dengan jawatan itu.

