Subra dakwa beliau hanya benarkan fail dua pencalonan
Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam mendakwa, beliau tidak membenarkan penyokongnya memfailkan pencalonan menyokongnya kerana beliau tidak mahu mereka dikenal pasti dan diburu oleh calon lain dan penyokong mereka.
Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam mendakwa, beliau tidak membenarkan penyokongnya memfailkan pencalonan menyokongnya kerana beliau tidak mahu mereka dikenal pasti dan diburu oleh calon lain dan penyokong mereka.
Berikutan itu, kebanyakan mereka yang menandatangani kertas pencalonan berpihak kepada Naib Presiden MIC Datuk G Palanivel, untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden parti pada 24 Jun depan.
Subramaniam yang menyandang jawatan timbalan presiden sejak 1981 menegaskan demikian sebagai mengulas mengenai pertandingan bagi jawatan tersebut di mana beliau hanya memperolehi dua pencalonan.
Selasa lalu, Ketua jawatankuasa pemandu pemilihan MIC, Datuk K. Vijayanathan mengumumkan, Subramaniam menerima hanya dua pencalonan manakala Palanivel memperoleh 185 kertas pencalonan.
Menurut laporan Bernama, MIC akan mengadakan pemilihan untuk jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 ahli jawatankuasa pusat. Presiden parti, Datuk Seri S Samy Vellu dipilih tanpa bertanding pada 10 Mac lalu.
Dalam satu kenyataan semalam, Subramaniam, 62, berkata sebelum hari pencalonan, beliau menerima permintaan dari perwakilan MIC untuk memfailkan kertas pencalonan bagi menyokongnya, tetapi beliau menolaknya kerana "beberapa sebab."
Kertas pencalonan
"Pertama, Perlembagaan MIC mengkehendaki hanya satu pencalonan difailkan (untuk satu jawatan yang layak ditandingi). Saya benarkan penyokong saya untuk memfailkan satu lagi pencalonan sebagai satu jaminan jika yang pertama ditolak atas sebarang sebab.
"Kedua, saya tidak mahu penyokong saya yang menandatangani kertas pencadang dan penyokong dikenalpasti dan diburu oleh calon lain dan penyokong mereka. Ini untuk mengelakkan tekanan terhadap mereka dengan propaganda palsu dan maklumat tidak benar mengenai latarbelakang dan sebab pertandingan itu," katanya.
Perlu diingat bahawa setiap kertas pencalonan mestilah ditandatangani oleh seorang pencadang dan lima orang penyokong. Kesemua enam orang yang menandatangani mestilah perwakilan dalam pemilihan 24 Jun depan.
Subramaniam juga membidas jawatankuasa pemandu pemilihan parti kerana tidak mengumumkan bilangan pencalonan yang diperoleh calon pada hari penamaan calon tetapi sebaliknya mengeluarkan jumlah khasnya kepada satu akhbar harian Tamil pada hari berikutnya.
"Saya juga mahu menggesa jawatankuasa pemilihan bukan hanya hendaklah bersikap adil tetapi juga dilihat adil. Mereka sepatutnya memaklumkannya ini semasa mengumumkan pencalonan itu di pusat pencalonan.
"Kalau tidak, jika jawatankuasa pemilihan itu mahu memberikan sebarang maklumat mengenai pemilihan sekarang melalui media, barulah ia adil dengan mengadakan persidangan akhbar," kata beliau.

