Seramai 200 anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal ketat pemilihan MIC pada 24 Jun ini berikutan pergaduhan yang hampir berlaku di antara puak yang bertanding pada hari penamaan calon Ahad yang lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Sulaiman Mohamed Yusof berkata anggota polis tersebut akan ditugaskan sepanjang proses pemilihan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Penamaan calon minggu lalu telah memberikan kami gambaran kasar apa yang dijangka boleh berlaku pada hari pemilihan.

"Polis tidak akan bertolak ansur terhadap sesiapa yang membuat kacau...satu perkara yang saya mahu tegaskan ialah patuhi undang-undang atau mereka dikenakan tindakan undang-undang," katanya kepada Bernama.

Pergaduhan yang hampir berlaku berpunca daripada pertikaman lidah di antara penyokong calon-calon.

Pemeriksaan tubuh

Sulaiman berkata hanya mereka yang mempunyai pas yang dibenarkan memasuki tempat pengundian di Dewan Merdeka, PWTC.

"Kami akan menjalankan pemeriksaan tubuh terhadap mereka yang berkelakuan mencurigakan bagi memastikan tiada senjata berbahaya dibawa masuk," katanya.

Sulaiman turut menasihatkan para penyokong calon supaya tidak terlalu emosional dalam menunjukkan sokongan masing-masing.

"Kadangkala dalam usaha menunjukkan sokongan terhadap calon pilihan mereka, penyokong meninggikan suara dan ini akan mencetuskan rasa kurang senang orang lain yang akhirnya akan membawa kepada pergaduhan," katanya.

Pemilihan MIC itu adalah bagi semua jawatan tinggi peringkat pusat kecuali jawatan presiden.