Wartawan yang mahu mendapatkan ulasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai'kritikan keras' Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinannya kecewa selepas dilarang berbuat demikian oleh beberapa pegawai perdana menteri.

Ketika wartawan menunggu peluang untuk menemui Abdullah selepas majlis pelancaran rasmi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WICFF) di sebuah hotel di ibu negara malam tadi, pegawai berkenaan telah mengingatkan wartawan supaya tidak bertanya mengenai kritikan keras Dr Mahathir terhadap Abdullah.

Semalam dalam sidang media di Putrajaya, Dr Mahathir berkata, beliau mungkin telah membuat silap dengan memilih Abdullah sebagai penggantinya dan mendakwa beliau telah ditikam dari belakang.

Sementara itu, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam yang ditemui di majlis yang sama, enggan membuat ulasan.

Katanya, beliau tidak mahu membuat sebarang ulasan kerana mendakwa 'isu kritikan Dr Mahathir terhadap Abdullah sebagai sangat serius'.

"Anda beri orang itu bercakap sehingga dua jam," katanya tetapi tidak menyebut siapakah orang yang dimaksudkan itu.

"Ini televisyen Singapura ada, nanti (kalau diulas) ditonton seluruh dunia," katanya lagi apabila melihat jurugambar media republik itu sedang merakam gambarnya.

Tidak sehaluan

Musa menjadi Timbalan Perdana Menteri selama enam tahun sewaktu pemerintahan Dr Mahathir dari 1981 sehinggalah eliau meletakkan jawatan pada 1987 kerana tidak sehaluan. Musa kemudiannya menyertai Tengku Razaleigh Hamzah dalam Team B untuk menentang Dr Mahathir dari Team A dalam pemilihan Umno pada 1987.

Tengku Razaleigh telah mencabar Dr Mahathir bagi jawatan presiden, manakala Musa pula bertanding mempertahankan jawatan timbalan presiden Umno. Dr Mahathir menang tipis, manakala Musa pula tewas kepada pencabarnya, Tun Ghafar Baba.

Semalam dalam sidang media di Putrajaya, Dr Mahathir secara terus terang mendedahkan bahawa Abdullah bukanlah pilihan pertamanya untuk mengambil alih pucuk pimpinan apabila beliau bersara pada 2003 selepas 22 tahun menjadi perdana menteri.

"Selepas memilih beliau sebagai pengganti saya malah, beliau bukanlah pilihan pertama, beliau (pilihan) kedua kerana beliau tidak mendapat undi terbanyak. (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang dapat (undi terbanyak)," kata Dr Mahathir dalam sidang akhbar di pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya semalam.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, beliau memilih Abdullah dan menjangka akan adalah rasa terhutang budi.

Dr Mahathir merujuk kepada pemilihan Umno pada 1996 di mana Najib memperolehi undi terbanyak, diikuti oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Abdullah.

Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998, Dr Mahathir perlu memilih salah seorang daripada tiga naib presiden tersebut untuk mengisi jawatan yang kosong tersebut, dan beliau memilih Abdullah.