Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantuan makanan tersadai: Menteri perlu bertanggungjawab, bukan JKM - Yeoh
Diterbitkan:  Apr 24, 2020 1:32 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Menteri yang bertanggungjawab terhadap isu bantuan makanan yang tidak diedarkan, bukan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sudah menanggung banyak beban kerja, kata Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, masalah dalam pelaksanaan pengagihan bantuan makanan berpunca daripada arahan politik dari pihak atasan.

“Jangan salahkan pegawai JKM. Ramai yang tanggung banyak beban kerja. Ia terjadi kerana arahan politik yang diberi oleh pihak atasan, yang menyebabkan kekacauan dalam perlaksaan.

“Bukan salah JKM. Sebab itulah kami meletakkan tanggungjawab terhadap menteri,” ciapnya di Twitter, tanpa merujuk mana-mana menteri secara khusus.

Bersama ciapan tersebut, beliau turut melampirkan laporan Malaysiakini bertarikh 23 April, berkenaan Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai yang meluahkan kemarahannya apabila mendapati lebih 700 bakul makanan kerajaan bagi membantu golongan terjejas akibat Covid-19, masih tersadai di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Beberapa hari sebelumnya, Tan telah menyuarakan kebimbangan berkenaan bakul-bakul makanan itu, dan berkata pihak berkuasa tidak memberi kebenaran untuknya mengedarkan sendiri kepada penduduk di kawasan Parlimennya..

Tan turut mendakwa ada sikap berat sebelah terhadap kebenaran yang diberikan kepada ahli parlimen untuk mengagihkan sendiri bantuan.

Beliau berkata Anggota Parlimen Bandar Tun Razak Kamaruddin Jaffar, yang juga timbalan menteri luar, mendapat kelulusan oleh JKM untuk membuat pengagihan.

Beliau turut menyangkal kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun, bahawa tiada sesiapa yang diketepikan dalam pengagihan bantuan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Lihat Komen
ADS