mk-logo
Berita
Isu telesidang parlimen: Tambah baik infrastruktur dulu - Tok Pa
Diterbitkan:  Apr 24, 2020 6:02 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Bagi menjalankan sidang parlimen secara telesidang, infrastruktur digital perlu ditambah baik terlebih dahulu bagi memastikan siaran tidak terganggu akibat ketidakupayaan talian internet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata beliau mempunyai pengalaman sebelum ini apabila telesidangnya terganggu oleh talian yang bermasalah, terutamanya yang turut melibatkan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.

“Saya dah terlibat dalam dua webinar, ada kalanya talian tak elok, berlaku gangguan (persidangan).

“[...] Jadi kita kena pastikan (terlebih dahulu) sistemnya ada, akses dan kualitinya lebih baik. Jadi kita kena baiki dulu infrastruktur sebelum sepenuhnya guna pakai alternatif ini, termasuk telesidang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi telesidang yang dianjurkan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) di Zoom, dikelolakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Ali Salman.

Beliau yang juga MP Jeli ditanya kemungkinan untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat secara dalam talian memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang belum dapat dipastikan tempoh tamatnya.

Kata Mustapa, buat masa sekarang, Dewan Rakyat akan bersidang pada 18 Mei selama sehari, bagi mematuhi keperluan perlembagaan yang memerlukan persidangan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap enam bulan.

Bagaimanapun, beliau berharap supaya PKP akan tamat dalam sedikit waktu lagi dan sidang parlimen tidak perlu dibuat menerusi medium alternatif.

“Harapnya, pada masa itu nanti (selepas sidang 18 Mei), PKP akan tamat, dan kita akan dapat kembali menjadi ‘sedikit normal’, bukan normal secara seluruhnya.

“[...] Harap bersabar. Untuk waktu ini, kita fokus kepada Covid-19, isu kesihatan dan juga ekonomi dahulu,” katanya lagi.

Menerusi satu notis oleh Setiausaha Dewan Rakyat pada 17 April lalu, sidang parlimen akan berlangsung pada 18 Mei selama satu hari sahaja susulan PKP, bagi membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan.

Sidang itu tidak akan melibatkan sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis, usul atau kamar khas.

Lihat Komen
ADS