Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Keadilan, Dr Abdul Wahid Ahmad Suhaimie hari ini menyangkal dakwaan bahawa keputusan beliau untuk tidak bertanding semula jawatan itu didorong oleh "konspirasi" dalaman yang bertujuan menyingkir ahli yang berasal daripada parti Umno.

Sebaliknya, beliau yang merupakan Ketua Perhubungan Parti Keadilan Pahang berkata, penarikan diri beliau adalah semata-mata untuk memberi peluang kepada orang baru untuk menceburi bidang politik.

"Saya tidak bertanding untuk jawatan MPT tetapi saya masih memegang jawatan ketua bahagian (parti) dan ketua perhubungan negeri," katanya.

Beliau yang merupakan Ketua Bahagian Bentong menjelaskan, jawatan ketua perhubungan negeri dan ketua bahagian yang disandangnya kini adalah secara lantikan.

Menurutnya sama ada jawatannya sebagai ketua perhubungan negeri itu dikekalkan atau tidak adalah terpulang kepada presiden parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya tidak bertanding jawatan MPT kerana mahu tumpu perhatian kepada (jawatan) ketua bahagian. Lagipun kita di Pahang mahu tonjolkan dan beri pendedahan kepada muka baru dalam politik," katanya kepada malaysiakini .

Menurutnya, Pahang akan mengemukakan dua calon MPT iaitu Timbalan Ketua Perhubungan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Jafri Abdul Rashid dan Bendaharinya, Amir Abd Aziz.

Katanya, "pemimpin datang dan pergi", oleh itu golongan pelapis dalam parti tersebut perlu diketengahkan dan diberi peluang untuk memimpin.

'Konspirasi normal'

Namun beliau tidak menolak dakwaan mengenai kewujudan "konspirasi" dalam parti itu.

Bagaimanapun, beliau yang bekas ahli Umno berkata perkara itu "dianggap normal" kerana ahli parti itu terdiri daripada pelbagai golongan dan berlainan latarbelakang.

"Setiap orang mempunyai cara perjuangan politiknya dan masing-masing mempunyai pendekatan yang berbeza. Manakala di pihak ahli pula mempunyai pemimpin yang mereka sukai atau yang disokong dan perkara ini mungkin begitu ketara apabila pemilihan parti hendak diadakan," katanya.

Beliau menambah, perluasan pengaruh dan kewujudan kelompok tertentu menjelang pemilihan adalah proses biasa dalam sesebuah parti.

"Malah kalau dalam Umno sendiri, kewujudan kelompok tertentu dalam menentukan pemimpin turut ada, cuma sokongan dalam parti itu adalah lebih kepada mengikut individu atau ketua tertentu dan bukannya kumpulan atau pertubuhan tertentu," jelasnya.

Menurut Abdul Wahid, beliau percaya ahli parti bijak untuk memilih siapa pemimpin mereka.

Pemilihan parti itu akan berlangsung pada 9 hingga 11 November depan di Kemaman, Terengganu.