Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan perubatan bimbang petugas kesihatan didiskriminasi
Diterbitkan:  Apr 25, 2020 8:16 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan kebimbangan mengenai apa yang disifatkan sebagai amalan diskriminasi terhadap pekerja kesihatan susulan Covid-19.

MMA berkata pihak mereka dimaklumkan bahawa sebuah kondominium di Petaling Jaya menetapkan penggunaan lif berbeza untuk petugas kesihatan bagi "melindungi penduduk lain daripada dijangkiti Covid-19".

"Amalan diskriminasi ini bermula ketika pihak pengurusan kondominium mengetahui bahawa penyewa pekerja kesihatan didiagnosis menghidap Covid-19.

"Pekerja kesihatan yang bertugas di kemudahan kesihatan awam dimasukkan ke hospital setelah didiagnosis dengan Covid-19 pada akhir bulan Mac.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan kondominium baru mengetahui hal ini pada pertengahan April ketika penyewa lain telah memberitahu mereka," kata presiden MMA N Ganabaskaran dalam satu kenyataan.

Ganabaskaran berkata amalan diskriminasi seperti itu menunjukkan kesalahfahaman yang serius.

"Walaupun kami mengalu-alukan pembersihan berkala di kawasan umum dan pengambilan suhu badan penduduk sebagai langkah berjaga-jaga, membeza-bezakan penduduk untuk kemudahan awam bersama seperti lif tidak perlu dan menimbulkan diskriminasi terhadap pekerja kesihatan kita.

"Seakan ada orang tertentu bertindak melebihi apa yang diperlukan dalam langkah berjaga-jaga kerana ketakutan yang keterlaluan dan ini adalah salah satu contoh," katanya.

Ganabaskaran berkata langkah yang terbaik adalah mengikut nasihat Kementerian Kesihatan.

"Elakkan orang ramai, basuh tangan anda dengan sabun, kerap membersihkan tangan, kerap membasmi kuman pada permukaan yang sering disentuh, mengamalkan penjarakan sosial satu hingga dua meter dari yang lain ketika berada di tempat awam dan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), dan mengelakkan perjalanan tidak penting di luar rumah.

"Sekiranya semua langkah pencegahan ini diambil, seharusnya tidak ada alasan untuk takut," katanya.

Dia juga menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat amalan diskriminasi berkenaan.

"Kami juga mendesak kementerian-kementerian berkaitan untuk meningkatkan usaha menangani masalah ketakutan dan salah maklumat ini di kalangan masyarakat untuk menghindari masalah serupa," katanya.

 

Lihat Komen
ADS