Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Menteri tetap bekerja semasa PKP
Diterbitkan:  Apr 25, 2020 10:32 PM
Dikemaskini: 3:30 PM

Perdana menteri, Muhyiddin Yasin memberi jaminan bahawa barisan menteri tetap melaksanakan tugas mereka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa menteri kabinet tidak melakukan tugas mereka semasa PKP.

Muhyiddin menjelaskan bahawa pada masa ini, beliau memutuskan hanya dua wakil sebagai jurucakap iaitu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

"Tu sengaja saya buat supaya tak terganggu (dengan banyak jurucakap).

"Tak bermakna menteri tak jalankan tugas. Dalam keterbatasan PKP pun mereka harus jalankan tugas.

"Orang kata menteri tak kerja. (Sebenarnya) Menteri kerja. Dalam dua bulan ni tak ada gaji pun. Sumbangan gaji diserah kepada kerajaan," jelasnya dalam satu program temu bual yang disiarkan RTM, Astro Awani, TV3 dan Bernama TV malam ini.

Kabinet pada Mac lalu mengumumkan pemotongan gaji selama dua bulan bagi barisan kabinet.

Muhyiddin berkata menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan juga diingatkan agar mereka tidak tidak dibebani dengan kerja tertunggak selepas PKP berakhir.

"Jangan nanti dah buka (habis) PKP, backlog (kerja) bertimbun-timbun kerana hampir sebulan dua tak kerja.

"Bukan sahaja peringkat menteri, pegawai-pegawai lain pun saya dah ingatkan," katanya.

Proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan

Sementara itu, Muhyiddin berkata proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan perlu lebih menyeluruh bagi memudahkan rakyat menyesuaikan diri dengan normal baharu, lapor Bernama.

Beliau berkata ia penting untuk dimanfaatkan rakyat termasuk dalam bidang pendidikan dan perniagaan sekaligus membawa ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih maju dan berkembang.

“Saya dimaklumkan, sistem e-kerajaan ketika ini mungkin baru 30-40 peratus. Maka saya sudah arahkan supaya kita segerakan dan percepatkan supaya dalam mana-mana keadaan masyarakat sekalipun, kalau kerajaan sudah mendahului maka rakyat akan menyesuaikan keadaan.

“Proses pendigitalan baik dalam soal pentadbiran kerajaan, dalam urusan perniagaan, dalam kehidupan harian ini akan menjadi satu trend masa depan kita dan saya kira kesan penggandaan akan berlaku.

“Ini satu perkembangan menggalakkan, satu trend baru dan saya kira kalau ekonomi Malaysia ke hadapan, ia tidak boleh seperti yang ada sekarang, mesti melihat dalam bentuk-bentuk baru seperti mana yang saya sebutkan tadi,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS