Zam: Ada orang pengaruhi persepsi Dr Mahathir
Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya membenarkan sesiapa sahaja untuk mempengaruhi fikirannya dengan menerima fakta-fakta yang salah mengenai kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya membenarkan sesiapa sahaja untuk mempengaruhi fikirannya dengan menerima fakta-fakta yang salah mengenai kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Adalah tidak benar untuk berkata Dr Mahathir tidak disokong dalam Umno. Ini menunjukkan beliau telah dinasihati oleh orang yang ada agenda sendiri... ada orang yang mempengaruhi persepsi beliau," katanya.
Mengenai tohmahan bahawa kerajaan tidak mempunyai duit untuk dibelanjakan selepas persaraan Dr Mahathir, Zam berkata Abdullah tidak pernah berkata demikian.
"Kerajaan juga ada hak untuk tidak meneruskan projek-projek yang diluluskan oleh Dr Mahathir. Ini bergantung kepada keadaan terkini. Saya fikir tiada orang mempengaruhi atau menghasut Abdullah untuk menukar fikiran dan tidak melaksanakan projek-projek itu, " kata beliau.
Mengenai pembatalan pembinaan jambatan baru ke Singapura, Zam berkata satu kaji selidik yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Khas dan Jabatan Penerangan baru-baru ini, mendapati 70 peratus responden menyokongnya.
Menurut laporan Bernama, Zam berkata, kajian itu, yang disertai kira-kira 5,000 responden, juga mendapati 66 peratus daripada mereka menyokong Abdullah untuk tidak membalas kenyataan Dr Mahathir berhubung pembatalan jambatan itu.
"Jadi dari hasil kaji selidik ini, didapati rakyat ingin melihat keharmonian antara kepimpinan sekarang dan kepimpinan yang lama. Mereka juga melihat kematangan Abdullah yang menghormati Dr Mahathir dengan tidak membalas kenyataan bekas Perdana Menteri itu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Hasil kaji selidik
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa kerajaan sekarang, di bawah pimpinan Abdullah, telah melanggar janji untuk meneruskan keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh pentadbiran yang dipimpinnya sebelum ini.
Zainuddin berkata kaji selidik itu telah dijalankan dalam dua peringkat -- soal selidik (4,000 responden) dan bersemuka (1,050 responden). Kesemua mereka yang mengambil bahagian dalam kaji selidik itu merupakan rakyat Malaysia melebihi 21 tahun dari pelbagai bangsa, agama dan taraf sosial.
Beliau berkata berasaskan kaji selidik itu, boleh dirumuskan bahawa Abdullah adalah satu pilihan tepat yang dibuat Dr Mahathir untuk menggantikannya.
"Dan ini terbukti apabila Abdullah menerajui Barisan Nasional (BN) mendapat majoriti yang tak tertanding dalam mana-mana pilihan raya, pada pilihan raya yang lalu. Ketika itu, kita menghadapi krisis keyakinan dan pelantikan Abdullah telah berjaya menyelesaikan krisis itu," katanya.
Beliau berkata kemantapan ekonomi negara sekarang juga merupakan satu bukti yang pelantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri merupakan satu keputusan yang baik dan tepat.
Kaji selidik itu juga, katanya, mendapati rakyat bimbang teguran Dr Mahathir akan digunakan pihak pembangkang untuk menganggu gugat perpaduan yang telah lama wujud dalam Umno dan BN.
"Kajian itu juga mendapati Dr Mahathir berhak memberi pandangan dari semasa ke semasa tetapi bukan teguran peribadi. Mereka (responden) bimbang kalau teguran beliau tidak berasas, ia akan menghakis ketokohan Dr Mahathir yang sangat tinggi," kata Zainuddin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.