Terjemahan Peguam Fawziah Holdings telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah tinggi yang menolak permohonan Cherie Blair, isteri Perdana Menteri British, Tony Blair, untuk mewakili satu kes yang membabitkan firma tersebut.

Rabu lalu, mahkamah berkenaan menolak permohonan Cherie, dengan alasan, walaupun beliau merupakan pakar dalam bidang perundangan hak asasi manusia dan pekerjaan, tetapi beliau tidak mempunyai kepakaran dalam kes yang hendak diwakilinya itu.

"Rayuan tersebut telah difailkan semalam," kata peguam Steven Thiru yang mewakili Fawziah Holdings, kepada AFP.

Beliau berkata, pihaknya dijangka dimaklumkan minggu depan mengenai tarikh rayuan itu didengar.

Sebagai seorang peguam asing, Cherie perlu mendapatkan kelulusan untuk mewakili Fawziah Holdings.

Pada 25 Mei lalu lalu, Fawziah Holdings membuat permohonan supaya Cherie menyertai satu pasukan peguam bagi berhujah dalam rayuan oleh syarikat pengendali tol, Metramac Corporation Sdn Bhd, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Januari 2006, yang mengarahkannya membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings sebagai saguhati kerana kehilangan hak pengiklanan.

AFP