Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam peringkat terakhir menyediakan prosedur operasi piawai (SOP) baru mengikut zon, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

"Seperti kita tahu, banyak zon yang diisytiharkan sebagai zon hijau. Kita masih lagi berbincang untuk menyediakan SOP supaya jika ada kelonggaran di zon hijau, SOP tetap perlu dipatuhi.

"MKN dalam peringkat terakhir untuk membentangkan SOP yang lebih lengkap tentang zon hijau, apa yang boleh dilakukan di zon-zon hijau tersebut," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Sebagai contoh, kata Ismail, kawasan berpagar seperti universiti dan Projek Perumahan Rakyat (PPR), kemungkinan penduduk mungkin dibenarkan keluar dari rumah tapi tidak boleh keluar dari kawasan pagar kediaman mereka.

"Bolehlah bawa anak turun (dari rumah) dan sebagainya. SOP akan dikeluarkan. Mungkin mengikut blok (bangunan) mengikut masa.

"Ini semua sedang dirangka oleh MKN dan kita juga sedang mendapatkan maklum balas daripada semua kementerian supaya SOP yang akan dikeluarkan menyeluruh.

"Saya percaya minggu depan kita boleh muktamadkan SOP yang sedang dikaji oleh MKN bersama polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Jumlah zon hijau (kawasan yang tiada kes aktif Covid-19) meningkat kepada 77 daerah, berbanding 68 semalam.

Sementara zon merah (kawasan yang mempunyai lebih 40 kes aktif Covid-19) turun kepada 12.

Sementara itu, menjawab soalan pemberita mengenai kemungkina Liga Malaysia (Liga-M) 2020 diteruskan dengan SOP tertentu seperti ketiadaan penontin, Ismail berkata setakat ini keputusan untuk tidak membenarkan liga berkenaan diteruskan kekal.

Bagaimanapun, katanya, MKN akan meneliti sekiranya ada cadangan tertentu daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Berhubung pematuhan perintah kawalan pergerakan (PKP) pula, Ismail berkata statistik menunjukkan jumlah harian individu yang ditangkap melanggar perintah itu masih turun naik.

Ismail mengulangi bahawa orang ramai memainkan peranan utama dalam menentukan sama ada PKP dapat ditamatkan lebih awal atau sebaliknya.