Ketika berdepan Covid-19, negara-negara seperti India dan Vietnam telah pun memulakan langkah awal untuk mempelawa pelabur asing ke negara masing-masing.

Persoalannya, bagaimana Malaysia perlu mengukuhkan kembali ekonomi negara, setelah lebih dua juta orang diramal hilang pendapatan selepas penamatan perintah kawalan pergerakan (PKP)?

Menurut, Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, Malaysia mampu menarik pelabur asing ke untuk melabur di negara kita.

"Negara Vietnam antara yang sangat agresif dalam memberikan pelbagai insentif dalam menarik pelabur asing. Tapi, apa yang kita boleh tawar kepada syarikat-syarikat ini?

"Kita perlu menyediakan lapangan perniagaan dan insentif yang baik untuk membawa masuk mereka ke sini," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, menyediakan tenaga kerja boleh dijadikan salah satu inisiatif penting untuk menggalakkan pelabur asing untuk berpangkalan di Malaysia.

"Buat masa ini kita mempunyai hampir 500,000 graduan yang menganggur.

"Kita boleh jadikan mereka sebagai sumber yang baik untuk menampung keperluan pelabur asing ini dengan memberikan latihan jangka pendek mereka.

"Ini boleh dijadikan sumber tenaga baru kepada syarikat-syarikat yang berpotensi yang ingin melabur di Malaysia," katanya.

Katanya untuk jangka sederhana, kerajaan perlu membuat perubahan dalam sistem akademik.

"Bagi jangka sederhana, ia perlu bermula dengan sistem akademik, kerajaan perlu bersama-sama dengan IPTA dan pusat pengajian swasta menyediakan latihan dan program tambahan kepada pelajarnya.

"Program dan latihan ini perlu selaras dengan peluang pekerjaan permintaan semasa dan juga memenuhi kehendak pelabur asing," katanya.

Selain itu, Dr Barjoyai juga mencadangkan bahawa program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) dijadikan sebagai tawaran untuk menarik pelabur asing.

"Saya cadangkan, kerajaan perlu memikir untuk memberikan inisiatif tambahan kepada peserta MM2H supaya mereka melabur di Malaysia," katanya.

Wujudkan 'one stop center'

Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur & Putrajaya (KLPICC) Dr AT Kumararajah berkata kerajaan perlu menubuhkan pusat sehenti (one stop center) untuk memudahkan proses pelaburan syarikat asing.

"Dalam pasca Covid-19 ini, kita perlu mewujudkan satu pusat sehenti hasil kerjasama antara kerajaan dan swasta untuk memudahkan pelaburan asing dibawa masuk ke dalam negara.

"Bukan setakat mengawasi proses mendapat kelulusan dan sebagainya. Pusat sehenti ini juga perlu bijak mencari peluang daripada negara-negara jiran kita.

"Singapura dan Indonesia antara negara yang kini terjejas teruk dalam pandemik Covid-19. Kita perlu berusaha syarikat-syarikat dari negara ini untuk dibawa masuk ke negara kita untuk membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan akibat krisis Covid-19," katanya.

Demikian katanya, ketika diminta mengulas bagaimana kerajaan boleh membantu lebih 2 juta rakyat yang dikatakan bakal akan hilang pendapatan ekoran larangan PKP dan pandemik Covid-19 ini.

Menurutnya, kerajaan juga harus memberi keutamaan kepada pelaburan-pelaburan dari sektor penting yang berkaitan dengan pasca Covid-19.

"Sebagai contoh, syarikat pembekal sarung tangan antara sektor penting yang mampu menjana hasil keuntungan dalam masa terdekat pada masa yang sama memastikan peluang pekerjaan,” katanya.

Katanya, Malaysia juga perlu bijak mengaturkan strategik ekoran kekosongan dan jurang yang besar dalam rantaian bekalan bahan mentah dan komponen elektronik.

"Sebelum ini, secara global kita semua tergantung kepada China untuk rantaian bekalan ini. Kini, sudah ada jurang besar. Jadi, kita perlu bertindak cepat sejak Malaysia mempunyai infrastruktur yang lebih baik berbanding negara-negara seperti India dan beberapa negara Asean yang lain.

Perlu pantas, kata Dr Yeah

Sementara itu, Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata kerajaan perlu pantas dalam merebut peluang menarik minat syarikat luar negara.

"Malaysia perlu menggandakan usaha dalam menarik pelabur-pelabur asing untuk kini mencari lapangan baru untuk menyusun semula perniagaan mereka.

"Walaupun ada syarikat masih tidak menarik secara sepenuhnya dari China, ada yang masih mencari tempat baru untuk memproses komponen-komponen kecil.

"Kita masih boleh mempelawa syarikat-syarikat ini untuk melabur di Malaysia," katanya.

Katanya, dengan rancangan dan strategik tepat, Malaysia boleh berubah dijadikan hub pengeluaran masuk untuk ekonomi Asean.

"Malaysia ada kelebihan berbanding beberapa negara lain.

"Lokasi strategik, kos utiliti dan infrastruktur relatif antara insentif yang mampu menarik pelabur ke negara kita membandingkan negara seperti Vietnam, dan India.

"Kita tidak perlu menunggu sehingga pandemik Covid-19 berakhir. Perlu bertindak pantas sedangkan Malaysia antara negara terbaik di dunia dalam pengendalian mengekang wabak ini," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.