Kira-kira 300 pekerja pembaca meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan piket secara aman petang ini berikutan tindakan pihak pengurusan TNB memberhentikan pembayaran faedah membaca meter sepertimana yang termaktub dalam perjanjian bersama.

Piket tersebut dianjurkan oleh Kesatuan Pegawai Rendah TNB (TNBJOU) selama 10 minit di luar kawasan Ibu Pejabat TNB di Jalan Bangsar mulai jam 5.30 petang tadi. Ia disertai pembaca meter di Lembah Kelang, dari Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Presiden kesatuan tersebut, Raja Hang Tuah Raja Iskandar berkata, piket itu diadakan sebagai membantah tindakan pengurusan TNB bertindak mengurangkan faedah membaca meter sejak 2 Januari lalu.

"Kami sudah mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini, termasuk mengadakan rundingan dengan pengurusan kanan TNB sejak enam bulan lalu tetapi gagal," katanya dalam sidang media sebelum mengadakan piket tersebut.

Malah, katanya, faedah tahun lalu sehingga hari ini belum dibayar dan perkara tersebut tidak pernah berlaku sewaktu di bawah pengurusan lama.

Beliau berkata, sebelum ini bagi setiap 30 meter yang dibaca, pembaca meter akan dibayar faedah tambahan mengikut kadar bayaran gaji bagi sejam, tetapi kini bayaran itu telah dimansuhkan.

"Tindakan ini sangat tidak berhati perut kerana kos hidup, terutama di bandar-bandar besar yang tinggi sedangkan pendapatan pembaca meter hanyalah RM700 hingga RM1,300 sebulan," tambahnya.

Kini 300 meter sehari

Raja Hang Tuah berkata, jika sebelum ini pekerja hanya diwajibkan membaca 180 meter pengguna sehari, kini mereka diarah oleh pihak pengurusan TNB membaca 300 meter sehari.

Katanya, ini menimbulkan masalah kepada pembaca meter yang tinggal di kawasan pedalaman seperti Jerantut, Alor Star dan Gua Musang kerana kedudukan rumah pengguna yang jauh di antara satu sama lain.

Beliau berkata, jumlah pembaca jangka di seluruh negara ialah 1,400 orang tetapi berikutan pertambahan penduduk, ia sangat membebankan mereka.

Katanya, pihak kesatuan telah mengadakan rundingan mengenai perkara itu dengan pengurusan TNB tetapi permintaan untuk mendapatkan semula faedah lama telah ditolak.

"Kami juga cuba membawa isu itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi sehingga ini tidak dapat berjumpa beliau," katanya lagi.

Raja Hang Tuah berkata, minggu lalu kesatuan mengadakan rundingan dengan pengurusan TNB di Putrajaya mengenai perkara itu, tetapi tidak membuahkan sebarang hasil.

Katanya, beliau merayu pengurusan TNB supaya tidak mengambil hak pekerja kerana rata-rata mereka berpendapat rendah dan bergantung harap kepada kerja mereka.