Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pesakit Covid-19 masih trauma cemuhan di media sosial

Setiap kali terbaca mengenai identiti pesakit Covid-19 yang didedah dan ditularkan menerusi media sosial, Ching (bukan nama sebenar) bekas pesakit wabak itu, sememangnya amat terkesan dan memahami perasaan mangsa.

Manakan tidak, dia pernah melalui detik hitam itu, apabila dirinya disahkan positif Covid-19, kira-kira dua bulan lalu.

Perkara yang amat ditakuti dan membebankannya ketika itu bukan sahaja keadaan kesihatan dirinya, tetapi persepsi masyarakat terhadap dia dan keluarga.

Meskipun sudah pulih sepenuhnya dan kembali menjalani kehidupan normal, Ching, 33, masih trauma tatkala mengenangkan pengalaman pahit sebagai pesakit Covid-19 yang pernah menjadi mangsa cemuhan netizen.

“Netizen bertindak mencaci, menghina dan memarahi pesakit seolah-olah pesakit melakukan kesalahan besar. Apa salah kami sampai dihukum begitu?” soalnya setiap kali membaca cemuhan terhadap pesakit Covid-19 di media sosial.

Trauma berita ditularkan

Ching, seorang eksekutif pemasaran tidak menyangka kepulangannya dari China untuk menyambut Tahun Baru Cina pada 1 Feb lalu, bertukar menjadi mimpi ngeri.

Dia mula mengalami sakit tekak dan demam dua hari selepas pulang ke tanah air dan demam tidak kebah-kebah selama lima hari sehingga menyebabkan dia menjalani ujian saringan di sebuah hospital di Selangor.

"Keesokan harinya pada 7 Feb, saya disahkan positif Covid-19,” katanya kepada Bernama sambil menambah berita itu begitu cepat tersebar di kalangan kawan-kawan sebelum sempat dia memberitahu anggota keluarga sendiri.

Sungguh tidak disangka, sepatutnya sokongan dan kata semangat yang diharapkan daripada kawan-kawan, sebaliknya cemuhan dan kata-kata sinis yang diterimanya.

“Kau dah kena Covid-19?” antara mesej WhatsApps yang diterima ketika Ching dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sungai Buloh. Mesej berkenaan membuatkannya terkedu, kecewa dan tidak mampu membalasnya.

Menurut Ching, sepanjang menerima rawatan di hospital, ada kawan yang menghubunginya untuk bertanyakan khabar dan ada juga memaklumkan bahawa kesnya itu ditularkan netizen termasuk mendedahkan identiti diri dan keluarga di media sosial.

"Saya cuba untuk tidak melayari Facebook, namun semua itu bukannya mudah, saya sering terkejut dari tidur, trauma dengan apa yang terjadi terhadap diri ini, dan pernah terfikir untuk melarikan diri daripada wad,” katanya yang turut risau akan keadaan ibu bapanya di kampung ketika itu.

Namun, katanya, dia berusaha mengawal perasaan dan berfikiran waras kerana bukan sahaja sedang berperang dengan virus Covid-19, malah berusaha melawan persepsi negatif dan stigma masyarakat terhadap pesakit wabak itu.

Menyedari betapa "berkuasanya" fitnah dan tohmahan yang dilontarkan oleh netizen terutama ketika penularan pandemik ini, Ching bertekad untuk pulih mengharungi dugaan ini.

Dia juga bernasib baik kerana sentiasa mendapat dorongan dan kata-kata semangat daripada petugas-petugas hospital yang membuatkannya lebih cekal.

"Meskipun saya kini sudah sembuh, namun masih ada jiran dan orang kampung melabelkan saya sebagai 'pesakit yang pulang dari China' atau 'super spreader Covid-19',” katanya menambah ada juga rakan-rakan bergurau agar jangan mendekati dirinya.

Stigma mudaratkan keadaan

Mengulas mengenai stigma berkaitan Covid-19, pakar khidmat kaunseling dan psikologi bebas Dr Wong Kok Fye berkata budaya diskriminasi terhadap pesakit boleh memburukkan lagi keadaan termasuk menjejaskan tahap kesihatan mental mereka.

Menurutnya, kebanyakan netizen yang bertindak menular atau mendedahkan identiti pesakit Covid-19 adalah kerana rata-ratanya tidak dapat mengawal emosi dan perasaan marah.

"Ia secara tidak langsung menyebabkan berlakunya kejadian buli siber terhadap pesakit Covid-19 dan pesakit bukan sahaja derita dengan penyakit tetapi turut menghadapi tekanan perasaan dan mental.

"Apabila keadaan mental pesakit semakin serius, ada yang mungkin sanggup membunuh diri ataupun mempunyai kecenderungan ‘membalas dendam' dan menjadi seorang 'pembuli siber kerana mahu orang lain turut merasai bagaimana sengsaranya dibuli,” katanya.

Wong berkata, hakikatnya, pesakit Covid-19 amat memerlukan sokongan moral bagi memulihkan kesihatan fizikal dan mental mereka, selain bergantung kepada ubat-ubatan.

Katanya lagi, stigma terhadap penyakit Covid-19 juga menyebabkan ada dalam kalangan pesakit yang bergejala, tidak mahu menjalani ujian saringan kesihatan kerana khuatir akan didiskriminasi masyarakat.

"Jika dibiarkan berlarutan, situasi ini bukan sahaja memburukkan keadaan malah turut menyukarkan usaha membendung penularan wabak kerana pesakit enggan memberi kerjasama dengan 'frontliners' seperti tidak mahu dikuarantin ataupun berjumpa dengan doktor akibat stigma itu," katanya.

Justeru, katanya lagi, penting untuk media melaporkan berita yang dapat memberi motivasi kepada pesakit Covid-19 ataupun pesakit dalam siasatan (PUI) yang sedang dikuarantin.

"Misalnya, berita bekas pesakit Covid-19 yang mendermakan plasma darah bagi membantu menghasilkan vaksin wabak itu mendapat reaksi positif masyarakat.

"Berita seperti ini bukan sahaja dapat memotivasikan pesakit malah mereka akan sudi bekerjasama dan seterusnya menggalakkan bekas pesakit menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Seterusnya, Dr Wong turut mencadangkan individu yang mempunyai gejala wabak Covid-19 agar tidak segan untuk mendapatkan rawatan.

"Jangan fikir mengenai persepsi masyarakat, yang penting mereka perlu menjalani rawatan bagi membantu mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini," katanya.

Menurutnya, beberapa talian hotline sokongan emosi dan psikososial disediakan bagi membantu individu yang mengalami gangguan emosi atau tekanan perasaan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

PKP yang pertama kali dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, kini memasuki fasa keempat bermula 29 April dan dijadual berakhir pada 12 Mei depan.

Antara talian berkenaan ialah Mercy Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di talian 03-29359935; Talian Kasih Hotline, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di 15999 atau WhatsApp 019-261 5999; talian hotline Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di 03-79563488 atau WhatApp 018-9888058.

-Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS