Muhd Taib: Dr M dan Pak Lah tidak bermusuhan
Umno akan mengadakan siri penerangan kepada rakyat dan ahli parti itu bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya tidak pernah bermusuhan dan hubungan mereka sentiasa baik.
Umno akan mengadakan siri penerangan kepada rakyat dan ahli parti itu bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya tidak pernah bermusuhan dan hubungan mereka sentiasa baik.
Parti itu akan memperjelaskan kepada rakyat dan ahli parti mengenai senario politik terkini, terutama kritikan Dr Mahathir terhadap kepimpinan Abdullah, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
"Kalau mereka bermusuh, sudah tentu Perdana Menteri telah memberi kenyataan balas terhadap kritikan Tun (Dr Mahathir) tetapi tidak berlaku seperti itu dan ini membuktikan hubungan antara mereka dan Umno adalah sangat baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Masyarakat Jajahan Kuala Krai di sini.
Beberapa hari lalu, Dr Mahathir melemparkan kritikan paling keras terhadap pentadbiran Abdullah, tetapi ia disanggah oleh kebanyakan pemimpin yang menyifatkannya agak keterlaluan dan tidak berasas.
Bagaimanapun, katanya, Umno belum bercadang untuk mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan Dr Mahathir kerana yakin masalah itu hanyalah "salah faham" semata-mata.
"Kita sentiasa bertemu dengan Tun dari semasa ke semasa dan Umno tidak ada masalah dengan Tun atau sesiapa sahaja hingga perlu diadakan pertemuan sebegitu," katanya.
Menurut laporan Bernama, selain itu, Muhd Taib berkata, Umno mungkin mengadakan majlis penerangan di ibu negara untuk pemimpin parti peringkat negeri supaya mereka dapat memperjelaskannya pula kepada ahli bawahan.
"Pemimpin peringkat pusat sendiri akan mengadakan pertemuan dengan ahli parti sehingga ke peringkat akar umbi di negeri masing-masing agar mereka mengetahui perkara sebenarnya," katanya.
Beliau berkata, ahli Umno di seluruh negara perlu memahami bahawa keputusan Perdana Menteri terhadap beberapa isu besar sebelum ini adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri dan bukannya dilakukan oleh Abdullah sendiri.
Hal dalaman Umno
Muhammad juga kesal isu itu sudah dieksploitasi oleh pembangkang terutama PAS yang menganggap kritikan Dr Mahathir membuktikan pentadbiran Abdullah ketika ini sudah pincang.
Katanya PAS memang suka mencari kesalahan orang lain daripada mencari kebaikan dan sebab itu tidak hairanlah jika isu seperti itu telah dicanangkan pada Muktamar PAS di Kedah ketika ini.
"Ini masalah dalaman Umno sendiri dan PAS tidak perlulah mengambil perkara ini sebagai satu publisiti murahan bagi mereka kerana PAS sendiri sebenarnya tidak ada rancangan untuk membangunkan negara," katanya.
Sementara itu, Beberapa ahli veteran Umno berkata Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan tidak menghalang sesiapa jua untuk mengkritik atau memberi pandangan tertentu, kata beberapa anggota veteran Umno.
Pengerusi Veteran Umno Datuk Tajuddin Ali berkata kritikan Dr Mahathir terhadap Abdullah tidak akan memberi sebarang kesan terhadap perpaduan Umno.
"Bagi veteran Umno, memandangkan Malaysia sebuah negara berdemokrasi, kita mengalu-alukan sebarang kritikan sama ada baik ataupun buruk," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengadilan Pertandingan Menamakan Bendera Umno.
Katanya, setiap kritikan atau pendapat yang dikeluarkan tidak akan menjejaskan imej dan keanggotaan serta pucuk pimpinan parti yang berumur 60 tahun itu.
Sementara itu, veteran Umno dari Melaka Tan Sri Aziz Tapa berkata walaupun negara menerima kritikan, sokongan terhadap kerajaan masa kini haruslah diteruskan kerana kerajaan sudah banyak menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan untuk kesenangan rakyat.
"Apa yang saya selalu simpulkan apabila kita bekerja untuk orang ramai, dengar seberapa banyak orang kata tetapi belum tentu boleh pakai (pendapat mereka)...kalau kita bekerja untuk diri sendiri, jangan banyak dengar orang kata, nanti tak jadi kerja.
Hormati demokrasi
"Semua orang boleh bercakap, elok atau tidak terpulang kepada yang bertanggungjawab iaitu pemerintah," katanya.
Ketika ditanya adakah kritikan ini perlu dihentikan atau tidak, Aziz berkata: "Dia (Dr Mahathir) nak cakap biar dia cakap...tidak mengapa kerana satu dunia tahu Malaysia mengamalkan demokrasi dan kita sentiasa menghormati demokrasi serta menyokong kerajaan 100 peratus."
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed pula berkata kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap kepimpinan Abdullah tidak akan menjejaskan sama sekali perpaduan parti.
Katanya, ahli Umno sudah memahami apa yang dilakukan oleh Abdullah dalam membangunkan negara yang merupakan dasar kesinambungan Dr Mahathir sendiri.
"Ia satu dasar yang disenangi rakyat untuk memperkasakan sektor pertanian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Tok Bali di Pasir Puteh.
Mustapa berkata di bawah kepimpinan Dr Mahathir, beliau telah berjaya mengubah wajah Malaysia dengan pesat dan menyediakan infrastruktur yang hampir lengkap.
Menurutnya di bawah era Abdullah pula, beliau mahu melengkapkan lagi kemudahan itu sehingga mencapai negara maju pada tahun 2020 seperti yang dirancang Dr Mahathir.
Katanya ia merupakan strategi yang terbaik bagi memantapkan negara antaranya dengan membangunkan modal insan sebagai teras utama dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang mampu dicapai.
Mustapa berkata berdasarkan hakikat itu, semua menteri Kabinet berdiri teguh di belakang kepimpinan Abdullah dan berikrar mempertahankannya bagi memastikan Perdana Menteri dapat menjalankan tugas dengan cemerlang.

