Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membuat kenyataan menerusi Facebook yang mengakibatkan kegentaran awam pada 9 April lalu.

Fuziah, 61, yang juga adalah ahli parlimen Kuantan, didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret R Salini kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan kes ditetapkan pada 16 Jun depan.

Fuziah didakwa berhubung hantaran yang dibuat melalui akaun Facebook miliknya.

Hantaran itu membabitkan keributan di Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan Kompleks imigresen, kastam dan kuarantin (ICQ) ekoran kepulangan warga Malaysia dari Singapura.

Akaun itu kemudian menyiarkan permohonan maaf daripada "pengendali" kerana memuat naik klip video lama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, manakala Fuziah diwakili peguam Hassan Karim dan John Fernandez.

Terdahulu, sebelum prosiding dimulakan, Hassan membuat bantahan dan memohon mahkamah supaya anak guamnya dibebaskan dengan alasan anak guamnya tidak diberikan notis awal, terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Hassan mendakwa Fuziah seolah-olah diserang hendap kerana tidak dimaklumkan akan dituduh mengikut seksyen terbabit.

Namun, Nor Azizah dalam hujahannya berkata saman sudah diserahkan sendiri kepada Fuziah di Kuantan, semalam, di mana di dalam kandungan saman menyatakan tertuduh perlu menjawab satu pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Fuziah, yang berbaju kurung jingga, tiba kira-kira 8.20 pagi di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru diiringi suaminya Russly Abdul Rahman, dan beberapa penyokong.