Seorang bapa yang membuat keputusan untuk pulang ke kampungnya di Kelantan dari Shah Alam setelah kehilangan pekerjaan dan “terperangkap” di kuartersnya selama 38 hari akhirnya tiba di kampung halamannya di Kampung Lawang, Jedok di Tanah Merah pada jam 11 malam Isnin lalu.

Perjalanannya itu meliputi tiga hari melalui kombinasi berjalan kaki dan menumpang kenderaan orang ramai.

Muhamad Nor Ramlee, 29, berkata, dia terperangkap di asrama kakitangan selama 38 hari setelah kehilangan pekerjaan sebagai tukang masak di kafeteria di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 16 Mac lalu.

Wang simpanannya habis dengan begitu cepat dan dia hanya berbaki RM150.

Hantaran dan siaran langsung rentetan perjalanannya di Facebook, dan perkongsiannya itu mendapat perhatian meluas warganet dan media.

Muhamad Nor kini dilaporkan menjalani arahan menguarantin diri sendiri selama 14 hari setelah menjalani saringan Covid-19 di pusat kesihatan.

Dalam hantaran berasingan juga, dia berkongsi pertukaran perbualan panggilan video dengan anak keduanya pada 24 April lalu yang menurutnya, membuatkan semangatnya naik 200 peratus untuk cuba pulang ke kampung halaman bagi berjumpa keluarga tercinta.

Bagaimanapun, ketika memulakan perjalanan pada 26 April, satu demi satu ikhtiarnya untuk pulang menemui jalan buntu sehingga memaksanya nekad berjalan kaki.

Dari asrama pekerja yang didiaminya ke Balai Polis Seksyen 7, dia berjalan kaki untuk mendapatkan pelepasan rentas negeri, hanya untuk mendapati balai polis itu telah berpindah.

Dia kemudian berjalan kaki pula menuju Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bagi berjimat wang untuk membeli tiket bas dari TBS ke Gua Musang, tetapi setibanya di sana, dia mendapati hanya bas ke arah utara masih beroperasi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Setelah itu, dia mengambil bas untuk ke Ipoh, Perak, namun bas hanya berhenti di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada jam 9.30 malam, dan dengan wang berbaki RM50, dia berjalan lagi ke Aman Jaya, namun semua bas di situ juga tidak lagi beroperasi kerana PKP.

"Saya kemudian buat 'live' nak berjalan ke Gerik. Tiba-tiba mendapat panggilan daripada seorang pegawai polis dari Gerik dan minta saya jangan ke mana-mana bagi memudahkan bantuan diberikan.

"Selepas menunggu beberapa ketika datanglah pegawai tersebut mengambil saya dan menghantar sehingga ke sekatan jalan raya (SJR) di Gerik. Pegawai tersebut kemudian telah menahan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Gong Badak, Terengganu untuk menumpangkan saya sehingga ke Tanah Merah," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Sepanjang mengemas kini mengenai perjalanannya itu, rakan-rakannya tidak putus-putus menitipkan kata sokongan dan doa buatnya di Facebook, agar perjalanannya dipermudahkan.