Pemuda Umno: Kritikan Dr Mahathir bersifat peribadi dan keterlaluan
Pergerakan Pemuda Umno Malaysia menyifatkan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyentuh peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan 'itu sudah keterlaluan'.
Pergerakan Pemuda Umno Malaysia menyifatkan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyentuh peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan 'itu sudah keterlaluan'.
Ketuanya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata kritikan Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Abdullah bukan pandangan dari rakyat biasa, dan oleh itu ia memberi kesan kepada kerajaan, parti dan persepsi orang ramai.
"Apa jua keputusan yang dibuat kerajaan dan pucuk pimpinan telah dibuat dengan jujur dan ikhlas. Kritikan itu tidak wajar (dan) mengecewakan kita," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno di Kuala Lumpur hari ini. Turut menghadiri mesyuarat tersebut ialah Datuk Mukhriz Mahathir.
Hishammuddin berkata bekas Perdana Menteri itu boleh mengkritik tetapi tidak sehingga menyentuh peribadi kepimpinan dan menjejaskan parti.
Namun begitu, beliau berkata Pemuda Umno gembira kerana Dr Mahathir menyatakan kesetiaannya kepada parti tidak berbelah bahagi, malah tidak akan membiarkan dirinya dipergunakan oleh orang lain.
'Jangan ikut emosi'
Menurut laporan Bernama, Hishammuddin mengingatkan anggota Pemuda Umno supaya tidak mengikut emosi atau mendahulukan kepentingan diri daripada kepentingan parti.
Ketika ditanya sama ada Pemuda Umno akan memberi penjelasan kepada Dr Mahathir berkenaan isu-isu yang dibangkitkannya, beliau berkata: "Itu tidak boleh diletakkan kepada Pemuda kerana bukan kita yang membuat dasar."
Katanya, pergerakan itu amat bersikap terbuka kepada sebarang teguran malah ada membincangkan pandangan Dr Mahathir dalam mesyuarat sebelum ini apabila kerajaan sekarang menghentikan pembinaan jambatan di Selat Tebrau.
"Cuma bila teguran kali ini melibatkan serangan menyentuh peribadi, kita rasa sudah sampai masa untuk kita membuat keputusan. Teguran kali ini tidak wajar," katanya.
Hishammuddin berkata pertemuan di antara dua pemimpin ini memang digalakkan supaya penyelesaian dapat dicari.

