Datuk Mukriz Mahathir kecewa dengan kecaman hebat yang penuh emosi terhadap bapanya walaupun kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berjanji untuk lebih telus dan terbuka menerima kritikan.

Mukhriz, yang juga ahli Exco Pemuda Umno berkata, ada di kalangan kepimpinan sekarang yang cepat dan mudah emosi mengecam bekas Perdana Menteri itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, daripada memberikan jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh bapanya.

"Lebih mudah untuk menyoalkan kesetiaan Tun (Mahathir) kepada parti dan menyoal tindakan beliau mengkritik kerajaan tanpa memikirkan asas dan pokoknya serta menjawab dengan rasional dan logikal," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat exco pergerakan Pemuda Umno hari ini.

"Kalau dijawab dengan baik, isu-isu ini lambat laun akan tertutup... apa yang beliau utarakan pun rasional, jawablah (dengan) rasional," katanya.

Katanya, daripada menjawab isu-isu yang diutarakan oleh Dr Mahathir, ada pemimpin yang mencabar beliau untuk berdebat dan mendakwa beliau (Mahathir) tidak layak memberikan pandangan kerana cuma seorang bekas Perdana Menteri.

Menurut laporan Bernama, Mukhriz mengakui, bapanya pernah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan dan beberapa isu berkaitan kepada beliau sendiri.

"Kita hormati ruang untuk mengkritik, pemimpin kita pun galakkan ketelusan dan keterbukaan sebab itu mana-mana pihak termasuk bekas Perdana Menteri pun berhak bercakap," katanya.

Pandangan exco

Mukhriz ditanya sama ada beliau sendiri ada memberi penjelasan mengenai isu itu dalam mesyuarat exco pemuda hari ini, dengan berseloroh beliau menjawab: "Penjelasannya rahsia".

"Kita dengar juga pandangan dari ramai exco lain, ada juga yang berbeza pendapat tapi isu pokoknya ialah bantu untuk cari penyelesaian kepada masalah untuk kekalkan keutuhan Umno," katanya.

Mukhriz juga berkata bapanya telah berada dalam kancah politik selama 35 tahun dan kecaman yang dilemparkan ke atasnya akan ditangani dengan caranya sendiri.

"Itu (kecaman) sudah biasa dan dia sudah 35 tahun dalam politik. Kena hentam dalam politik memang kebiasaan dan dia mampu menanganinya dengan cara beliau sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Umno Bahagian Bagan mencadangkan supaya Majlis Tertinggi (MT) Umno menghantar pihak ketiga untuk bertemu dan menasihati Dr Mahathir supaya tidak memberi kenyataan-kenyataan kontroversi demi menjaga maruah dan prestasi kerajaan.

Saranan jumpa Dr M

Ketuanya, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata demi kestabilan dan keharmonian hidup rakyat di negara ini, perkara seperti itu tidak harus dibangkitkan lagi pada masa akan datang untuk menjaga perpaduan dalam Umno dan orang Melayu.

Katanya, kenyataan bekas Perdana Menteri itu sedikit sebanyak menyentuh hati rakyat Malaysia khususnya ahli Umno yang sayang kepada kedua-dua pemimpin besar itu.

"Isu ini telah diuar-uarkan oleh media menyebabkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya pembangkang mulai menangguk di air keruh," katanya.

Cadangan itu terkandung dalam memorandum Umno bahagian itu kepada Abdullah yang juga Presiden Umno semalam dan salinannya difaks ke Bernama hari ini.

Menurut Abdul Latiff, era kepimpinan Dr Mahathir telah berlalu dan sebaiknya beliau memberikan tumpuan dan komen kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk mereka memainkan peranan lebih berkesan dalam pembangunan negara.