Umno Kelantan meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan janjinya untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran negara selepas bersara daripada kerajaan.

"Tun sebagai seorang negarawan ulung, pandangannya perlu diambil kira tetapi pada masa yang sama Tun perlu menunaikan janji tidak memberikan tekanan kepada Perdana Menteri," kata Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Pada masa yang sama, katanya, Badan Perhubungan Umno Kelantan juga mencadangkan beberapa wakil Jemaah Menteri mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi mendengar sendiri beberapa isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati bekas Perdana Menteri itu.

Dengan itu, kata Annuar, wakil Jemaah Menteri dan Dr Mahathir boleh berbincang secara kekeluargaan segala isu berkenaan bagi mencari kata sepakat.

"Jika perlu diperbincangkan secara mendalam, wakil Jemaah Menteri boleh berbincang semula dalam mesyuarat Kabinet dan keputusannya dapat diperjelaskan semula kepada Dr Mahathir," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat badan perhubungan itu di Kota Bharu.

Sokong Pak Lah

Menurut laporan Bernama, beberapa hari lalu, Dr Mahathir melemparkan kritikan paling keras terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain menyanggah kenyataan Dr Mahathir itu, kebanyakan pemimpin lain menyifatkannya sebagai agak keterlaluan dan tidak berasas.

Semalam, Dr Mahathir menjelaskan bahawa beliau sebenarnya mahukan jawapan kepada soalan-soalan yang dibangkitkannya tentang beberapa keputusan yang dibuat kerajaan sekarang.

Annuar berkata, adalah tidak manis isu itu kini menjadi perdebatan umum kerana ada cara yang lebih baik bagi sesiapa untuk menyuarakan pendapat mereka.

"Sebab itu kita dengar apa yang Tun (Dr Mahathir) mahukan dan tidak puas hatinya dalam pertemuan itu dan berbincanglah secara anak-beranak," katanya.

Annuar berkata, Umno Kelantan tetap berpegang teguh dengan kepimpinan Abdullah yang menurutnya telah melakukan sesuatu yang tepat untuk rakyat dan negara seperti keputusan membatalkan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.