Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat majalah henti operasi, 183 kakitangan hilang kerja
Diterbitkan:  Apr 30, 2020 3:59 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Kakitangan syarikat peneribatan Blu Inc Media menerima memo daripada pentadbiran berkenaan penamatan operasi syarikat itu, bermula hari ini.

Menurut sumber, dijangka 183 kakitangan hilang pekerjaan susulan penamatan operasinya, yang melibatkan penerbitan bercetak dan digital.

Memo itu memetik CEO Azlina Tajuddin sebagai berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertambahan kerugian akibat pandemik Covid-19.

"Perniagaan kita sudah pun berdepan cabaran besar daripada 'gangguan' digital sepanjang beberapa tahun lalu...Dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membendung Covid-19, kerugian bertambah bagi Mac dan April dan trend ini dijangka berterusan untuk beberapa bulan akan datang.

"Maka dengan berat hati Lembaga Pengarah memutuskan untuk menamatkan operasi Blu Inc Media Sdn Bhd berkuat kuasa 30 April 2020 (hari ini), termasuk penamatan semua penerbitan bercetak dan digital.

Menurut laman webnya, Blu Inc menerbitkan 19 majalah termasuk Cleo, Jelita, Female, Her World dan Harper's Bazaar.

Sumber itu, yang sudah bekerja dengan syarikat itu selama 10 tahun, berkata dia menerima memo itu menerusi emel pada pukul 11 pagi tadi.

"Ia tidak terlalu mengejutkan kerana saya sudah jangka beberapa tajuk (majalah) akan dihentikan penerbitan. Apa yang benar-benar mengejutkan adalah menerimanya ketika PKP, dengan tarikh 30 April dan penamatan operasi pada hari yang sama," katanya.

Katanya lagi, tanda-tanda awal sudah kelihatan pada Februari lalu apabila pentadbiran menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

"Sejumlah 43 orang diluluskan, tetapi pada 17 mac, ketua jabatan diberitahu skim itu dibatalkan, walaupun jika ada kakitangan yang telah menerima surat terma VSS."

Tanda lain, katanya lagi, apabila kakitangan menerima notis pemotongan gaji untuk bulan Mei hingga Julai, pada kadar 30 peratus bagi mereka yang bergaji kurang RM5,000 sebulan, sehingga 60 peratus bagi mereka yang bergaji lebih RM10,000 sebulan.

"Ketua jabatan juga diminta melepaskan semua kakitangan kontrak dan yang belum disahkan," katanya yang enggan dinamakan.

Blu Inc menjadi organisasi media terbaru yang mengambil langkah itu, selepas Edge Financial Daily mengumumkan penamatan penerbitannya selepas 13 tahun beroperasi, pada 21 April lalu.

Semalam, akhbar bahasa Cina Oriental Daily memaklumkan bermula 1 Mei, akhbar itu tidak lagi diterbitkan pada hari minggu, dan harganya dikurangkan daripada RM1.20 kepada RM0.60.

Tahun lalu, Utusan Malaysia yang sudah berada di pasaran selama 80 tahun mengumumkan penamatan operasinya.

Utusan menjadi akhbar ketiga yang menghentikan penerbitan dalam masa 10 bulan, menyusuli Tamil Nesan (1924-2019) dan Malay Mail edisi bercetak (1896-2018).

Lihat Komen
ADS