PAS: Pilihanraya umum hujung tahun ini....?
PAS menjangkakan pilihanraya umum mungkin diadakan lebih awal - tidak mengejutkan pada hujung tahun ini jika krisis antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad berlarutan.
PAS menjangkakan pilihanraya umum mungkin diadakan lebih awal - tidak mengejutkan pada hujung tahun ini jika krisis antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad berlarutan.
"Mungkin kita akan berhadapan dengan pilihanraya umum pada Oktober nanti jika Pak Lah rasa terancam oleh krisisnya dengan Dr. Mahathir sekarang,"kata Naib-Presiden parti itu, Datuk Seri Husam Musa.
Menurutnya, krisis antara kedua-dua pemimpin itu mendedahkan segala kelemahan kerajaan dan meletakkan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan tertekan.
Husam berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhannya di hari terakhir muktamar PAS ke-52 di Kota Sarang Semut, Alor Setar pada Jumaat lalu.
"Tidak mengejutkan jika pilihanraya diadakan lebih awal, bukan pada hujung tahun depan atau awal 2008 sebagaimana diramalkan oleh ramai pemerhati sebelum ini,"katanya.
Sehubungan itu beliau yang juga ahli exco kerajaan negeri Kelantan menyeru semua ahli-ahli PAS membuat persiapan awal untuk menghadapi pilihanraya mengejut pada bila-bila masa.
Katanya lagi, PAS memerlukan kira-kira RM5 juta untuk menghadapi pilihanraya umum dan langkah segera perlu diambil bagi mengumpul dana yang diperlukan itu.
Husam juga mengajak parti-parti pembangkang memikirkan cara untuk mewujudkan satu media alternatif bagi menghadapi kempen pilihanraya BN.
Bagi pihak PAS sendiri, bahagian penerangan parti itu telah diperuntukkan RM550,000 bagi menerbitkan risalah dan bahan-bahan penerangan untuk disebarkan kepada rakyat.
Mengenai persiapan di Kelantan pula, Husam berkata, PAS negeri itu sedang melakukan persiapan untuk pilihanraya kecil dan pilihanraya umum.
"Kita perlu bersedia untuk pilihanraya kecil kerana andainya ada di antara ADUN kita meninggal dunia, kita mahu memastikan majoriti satu kerusi yang dimiliki sekarang dapat dipertahankan.
"Kita bukan mahu perkara seperti itu berlaku tetapi kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,"jelasnya.
PAS Kelantan juta katanya telah menjalankan kempen mendaftar pengundi baru di semua 23 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasainya bagi memastikan parti itu mampu mempertahankan majoriti undi di kawasan berkenaan andainya pilihanraya kecil terpaksa diadakan.
"Setakat ini kira-kira 17,000 pengundi baru telah dapat didaftarkan dan usaha diteruskan sepanjang tahun," katanya.

