Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu bapa pelajar UMS diminta bertenang, bersabar

KORONAVIRUS | Ibu bapa yang mempunyai anak di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diminta bersabar dan tidak perlu risau dengan keputusan pihak pentadbiran melaksanakan kuarantin pelajar sebelum dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan UMS dan dilihat Malaysiakini, pelajar pusat pengajian tinggi itu dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob ketika dihubungi berkata, kuarantin itu hanya dijalankan sekali dan pelajar terbabit tidak akan dikenakan prosedur sama apabila pulang nanti.

Justeru, katanya, bagi pelajar yang berasal dari Semenanjung Malaysia, mereka tidak perlu lagi dikuarantin bila sampai di Kuala Lumpur.

"Sekali kuarantin saja," katanya kepada Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp.

"Bagi pelajar dari semenanjung ke Sabah memang akan dikuarantin, termasuk ke Sarawak, (kuarantin) di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.

Beberapa ibu bapa memberitahu Malaysiakini, mereka berasa bimbang kerana anak masing-masing kelihatan tertekan selepas terpaksa berada di asrama masing-masing sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kali pertama bulan lalu.

Pergerakan secara berperingkat

Sesetengahnya memberitahu, anak mereka juga kelihatan murung dan enggan melayan panggilan telefon yang dibuat.

Berdasarkan kenyataan dibuat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMS, Raman Noordin memaklumkan pelajar yang ingin pulang perlu dikuarantin terlebih dulu.

Keputusan itu dbuat berdasarkan keputusan kerajaan Sabah melalui Pusat Kawalan Covid-19 Sabah.

Pada 24 April kerajaan memutuskan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti yang masih berada di kampus akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula 27 April ini.

Perkara itu dimaklumkan Ismail yang menjelaskan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) memutuskan waktu perjalanan yang dibenarkan adalah dari 9 malam hingga 9 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal.

“Pergerakan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan hanya melibatkan perjalanan ke zon hijau sahaja.

"Pelajar yang terlibat juga akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan serta topeng muka,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, 53,000 pelajar atau 85 peratus pelajar IPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terbabit dalam inisiatif itu manakala selebihnya memilih untuk kekal di kampus masing-masing.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS