MB perlu lepas jawatan hingga siasatan BPR selesai: PRM
Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo perlu melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor sehingga siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai tuduhan rasuah terhadap beliau selesai, kata Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM).
"Kami menyeru supaya sementara BPR menjalankan penyiasatan, Mohd Khir melepaskan jawatannya sebagai MB sehingga keputusan yang muktamad tercapai," kata Dr Syed Husin Ali dalam kenyataan akhbarnya, hari ini.
"Dalam beberapa bulan yang lalu, banyak tuduhan serta cerita mengenai amalan korupsi telah dikaitkan dengan Mohd Khir dalam laman-laman internet. Sekarang keadaan sudah berubah, Satu laporan rasmi telah dikemukakan mengenainya," tambah beliau.
Semalam, satu laporan mengenai empat isu membabitkan menteri besar itu telah dikemukakan kepada BPR oleh aktivis media Ahmad Lutfi Othman.
Menurut laporan itu, Mohd Khir didakwa menyerahkan pengendalian projek pembinaan jalanraya sepanjang 20.5km di Sekinchan kepada sebuah "syarikat bermasalah" dan meluluskan permohonan tanah di Shah Alam kepada empat syarikat yang mempunyai pengarah yang serupa.
Laporan itu menyebut, dalam empat syarikat yang setiap satunya mendapat tanah seluas 100 ekar, terdapat seorang individu yang menjadi pengarah kepada semua syarikat itu manakala tiga individu lagi menjadi pengarah kepada dua syarikat lain yang terbabit.
Lutfi dalam laporannya juga turut mempertikaikan pemberian tanah negeri seluas lebih kurang 50 ekar setiap satu kepada empat syarikat yang lain yang setiap satunya mempunyai pengarah yang berumur antara 20 hingga 23 tahun.
"Carian saya menunjukkan sebahagian mereka mendiami rumah yang keadaan fizikalnya mendatangkan syak bahawa mereka sebenarnya hanya menjadi penama untuk orang tertentu dan bukannya pemilik sebenar, malah mungkin ada yang langsung tidak tahu tentangnya," laporan itu dipetik.
Syed Husin turut menggesa supaya BPR segera bertindak jika siasatan ke atas dakwaan yang dilaporkan itu didapati benar.
"Sungguh mengecewakan sekiranya tuduhan terhadapnya (Mohd Khir) mempunyai unsur kebenaran," kata beliau.
Sementara itu, malaysiakini gagal menghubungi Mohd Khir bagi mendapatkan ulasan beliau mengenai laporan tersebut.

