mk-logo
Berita
Borang rentas negeri boleh dimuat turun dari media sosial PDRM
Diterbitkan:  May 3, 2020 5:58 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Orang ramai boleh mendapatkan borang rentas negeri menerusi laman Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula hari ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed.

Beliau berkata orang ramai perlu mencetak dan mengisi borang berkenaan sebelum dibawa ke balai polis berdekatan bagi mendapatkan kelulusan.

"Ia bagaimanapun hanya tertakluk kepada orang awam yang berada di Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi Gerak Malaysia untuk memohon membuat pergerakan.

"Permohonan manual ini boleh dibuat bermula hari ini namun orang ramai selepas itu perlu membuat janji temu dengan balai berdekatan bagi urusan penghantaran borang bagi mengelakkan kesesakan," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata kelulusan akan diberikan pada hari sama selepas borang berkenaan diserahkan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Huzir memaklumkan polis telah menahan 28,992 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga semalam.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 15,792 orang atau 54.4 peratus telah didakwa di mahkamah.

“PKP yang bermula 18 Mac dan sehingga 28 April lalu, sebanyak 27,061 individu ditahan dengan 13,980 telah dituduh di mahkamah, manakala bagi tempoh 29 April hingga 2 Mei, seramai 1,987 orang ditahan dengan 1,812 dituduh di mahkamah,” katanya.

Ditanya persediaan PDRM untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula esok, Huzir berkata pihaknya telah membuat persediaan termasuk setiap Ketua Polis Daerah dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kesesakan orang awam di lokasi tumpuan.

"Kami menjangkakan berlaku kesesakan tapi polis sudah bersedia untuk memantau perkara itu,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS