mk-logo
Berita
Perlu sokongan k'jaan untuk tubuh Majlis Media - CEO Mkini
Diterbitkan:  May 3, 2020 6:55 PM
Dikemaskini: 1:59 PM

Pengerusi Jawatankuasa Penaja Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran hari ini menegaskan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia diperlukan bagi merealisasikan penubuhan badan kawal selia industri itu.

Pada 16 Januari lalu, menteri komunikasi dan multimedia ketika itu Gobind Singh Deo mengumumkan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Penubuhan majlis media itu bagi memenuhi janji oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya ke-14.

Sejak dibentuk, jawatankuasa penaja tersebut telah merangka draf undang-undang penubuhan Majlis Media Malaysia.

Bagaimanapun, usaha itu tergendala susulan kejatuhan kerajaan PH dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN).

"Sudah tiba masanya media untuk mengatur sendiri industrinya dan kita perlu menyingkirkan undang-undang zalim yang benar-benar mengawal media.

"Kami belum mendengar (makluman) daripada kerajaan baru yang berkuasa Mac lepas.

"Kami telah menghubungi pihak Kementerian (Komunikasi dan Multimedia). Kami perlu tahu apa pendirian mereka mengenai majlis media.

"Kami memerlukan sokongan kementerian, Jabatan Peguam Negara dan mendapatkan sokongan undi MP untuk meluluskan rang undang-undang itu di parlimen," katanya.

Premesh berkata demikian ketika menjadi salah seorang tamu jemputan dalam program bual bicara, anjuran Kelab Koresponden Asing Malaysia (FCCM) sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2020.

Menteri komunikasi Saifuddin Abdullah pada awalnya dijadualkan untuk mengambil bahagian pada majlis itu, namun membatalkannya pada saat akhir kerana komitmen lain.

Mengulas lanjut, Premesh yang juga CEO Malaysiakini mengesa kerajaan agar tidak mengelak daripada menjawab persoalan yang dibangkitkan pihak media.

"Anda tidak boleh melarikan diri. Anda lihat pemerintahan sebelum ini, di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib (Abdul Razak) yang menjauhkan diri daripada soalan mengenai 1MDB.

"Tetapi saya menggesa kerajaan hari ini supaya mengambil pendekatan yang berbeza. Tangani (persoalan dan masalah) dengan secepat mungkin.

"Tak apa kalau sekali-sekala terdapat satu, dua laporan negatif sebab kita boleh belajar daripadanya dan memperbaiki diri,” katanya.

Larangan terhadap media tertentu

Mengulas mengenai kedudukan Malaysia pada tangga ke 101 dalam indeks kebebasan bersuara akhbar sedunia 2020, Pengarah Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Wathshlah Naidu pula berkata perkara tersebut memerlukan penelitian lanjut.

Katanya, kedudukan itu berdasarkan kepada suasana baru dalam landskap media selepas pertukaran kerajaan. Oleh itu, sewajarnya kita menerima suasana hari ini secara skeptikal.

"Sangat penting bagi kita untuk mendapat tempat di mana kita berada ketika ini dan ia sesuatu yang boleh dibanggakan,” jelasnya.

"Apa yang kita lihat pada dua terakhir adalah kerajaan menarik balik larangan terhadap media tertentu. Persekitaran media lebih tenang, kurang penapisan dari wartawan sendiri dan lebih banyak laporan yang seimbang," katanya.

Mengenai cara menangani ancaman siber yang dihadapi wartawan, Naidu berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat.

"Ancaman semakin berleluasa sekarang. Teknologi telah mencipta jalan dan platform yang berbeza untuk ancaman ini dibuat.

"Kerajaan perlu mendidik orang awam," jelasnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi tamu program bual bicara FCC, aktivis kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) Radzi Razak (gambar, atas), menekankan masalah yang dihadapi petugas di lapangan.

"Ada (media) syarikat yang menghadapi masalah membayar gaji tepat pada waktunya.

"Ini memberi tekanan kepada wartawan kerana ada yang terpaksa meminjam wang untuk keluar bekerja.

"Mereka yang paling terjejas adalah wartawan dan jurugambar junior," katanya.

Selain itu, Radzi turut berkata wabak Covid-19 ketika ini telah menambahkan lagi situasi mencabar yang dihadapi industri media tempatan.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Lihat Komen
ADS