Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buka masjid, surau tunggu kebenaran KKM, MKN
Diterbitkan:  May 4, 2020 5:41 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Surau dan masjid di negara ini mungkin dibuka semula untuk aktiviti keagamaan dalam waktu terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad.

Hal itu, katanya, bakal menjadi kenyataan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan ibadah di masjid dan surau serta kerjasama rakyat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sekarang.

Perkara itu dijelaskan Zulkifli dalam salah satu soalan di bawah senarai soalan lazim (FAQ) berkaitan PKPB, yang bertanyakan apakah wujud kebarangkalian pembukaan semula masjid dan surau dilaksanakan dalam waktu terdekat.

“Ya, jika kerajaan berpuas hati dengan garis panduan yang disediakan, juga tahap kerjasama dan keprihatinan rakyat Malaysia secara umumnya sepanjang PKPB di samping mengambil kira nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara)," katanya.

Menurut bekas mufti Wilayah Persekutuan itu lagi, garis panduan berhubung ibadah di masjid dan surau disiapkan hasil kerjasama pejabatnya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ia kemudian dibentangkan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugarna Islam Malaysia (MKI) Keempat pada 30 April lalu.

Jelasnya lagi, garis panduan tersebut kini hanya menunggu kebenaran KKM dan MKN, serta tertakluk arahan kerajaan dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini berdasarkan pertimbangan pihak-pihak berwajib kerajaan memutuskan sebarang bentuk aktiviti agama berjemaah di masjid dan surau masih dilarang dalam tempoh PKPB,” katanya.

Bagaimanapun, untuk rekod, jika garis panduan itu mendapat kelulusan di peringkat persekutuan sekalipun, ia masih tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa negeri untuk dilaksanakan.

Selain itu, tambahnya lagi, perkara yang menjadi pertimbangan kerajaan sebelum membenarkan aktiviti seperti solat Jumaat di masjid ialah kesiapsiagaan dan persediaan teknikal berada di tahap optimum, selain persediaan masjid dan surau pula di tahap terbaik.

Ia termasuklah di peringkat majlis dan jabatan agama negeri sebagai badan berautoriti, serta pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran agama.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS