PAC gesa gantirugi kepada Gerbang Perdana dikurangkan
Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) menggesa supaya dikurangkan jumlah gantirugi yang akan dibayar kepada Gerbang Perdana Sdn Bhd ekoran pembatalan projek pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) menggesa supaya dikurangkan jumlah gantirugi yang akan dibayar kepada Gerbang Perdana Sdn Bhd ekoran pembatalan projek pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
Ini kerana kontraktor terbabit akan mendapat tawaran kerja membina jalan penghubung dari Tambak Johor ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) secara rundingan terus dengan kerajaan, kata Pengerusinya Datuk Shahrir Abdul Samad.
"Kita minta Jawatankuasa Tuntutan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya meminta pengurangan jumlah gantirugi berjumlah RM100 juta dari Gerbang Perdana," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC dengan pegawai Kementerian dan Jabatan Kerja Raya serta Gerbang Perdana mengenai isu pengurusan projek CIQ di Parlimen semalam.
Jalan penghubung yang turut merangkumi sistem penyuraian trafik ke kompleks tersebut dianggar bernilai RM470 juta.
CIQ bernilai RM1.26 bilion tersebut berhadapan dengan kemungkinan menjadi projek yang sia-sia apabila kerajaan membatalkan pembinaan 'Jambatan Indah' menggantikan tambak Johor pada 12 April lalu.
Kedua-dua projek itu adalah sebahagian daripada Projek Gerbang Selatan Bersepadu yang turut merangkumi pembinaan stesen keretapi JB Sentral bernilai RM2.5 bilion.
Shahrir bagaimanapun memberikan pandangan bahawa pembinaan CIQ itu sebagai suatu yang wajar dan kemudahan yang diperlukan oleh Johor Baharu.
Tuntutan Johor
Mengulas mengenai tuntutan premium bernilai RM380 juta oleh kerajaan negeri Johor terhadap tanah yang digunakan untuk pembinaan CIQ tersebut, Shahrir berkata perkara itu hanya akan wujud jika pertukaran tanah antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri tidak berlaku.
"Sepatutnya ada pertukaran tanah di mana tanah milik kerajaan negeri yang digunakan untuk membina CIQ baru itu ditukarkan dengan tapak pemeriksaan lori (Lorry CIQ) milik kerajaan pusat di Tanjung Puteri," katanya.
Beliau juga berkata PAC akan meminta Jabatan Audit untuk menjalankan audit pengurusan terhadap kelewatan penyiapan projek pembinaan bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Audit pengurusan tersebut yang akan dilakukan tidak lama lagi adalah untuk menentukan sama ada kerajaan telah menggunakan sistem, proses dan prosedur yang betul sebelum melaksanakan pembinaan bangunan itu.
Beliau berkata ini penting bagi mengenalpasti di mana dan bagaimana kesilapan boleh berlaku agar ia tidak berulang untuk pelaksanaan projek lain pada masa akan datang.
Projek tersebut yang mula dibina pada 1994 dan dijangka siap pada 1997 tetapi hanya dapat disiapkan pada tahun ini yang menyebabkan kos melonjak kepada RM287.5 juta berbanding kos asal RM167 juta.
Kos itu meningkat termasuk kerja pembaikan bangunan kira-kira RM64.8 juta.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.