Sgor siar iklan sokong kepimpinan Pak Lah
Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengambil kesempatan daripada lawatan kerja sehari Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyuarakan sokongan padunya terhadap kepimpinan Abdullah yang menjadi sasaran kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengambil kesempatan daripada lawatan kerja sehari Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyuarakan sokongan padunya terhadap kepimpinan Abdullah yang menjadi sasaran kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sekurang-kurangnya tiga akhbar utama arus perdana New Straits Times , Berita Harian dan The Star telah menyiarkan satu muka penuh iklan dari Kerajaan dan Rakyat Selangor Darul Ehsan yang mengalu-alukan lawatan Abdullah hari ini.
Iklan tersebut dilihat sebagai membawa mesej yang jelas bahawa Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Dr Mohd Khir memberi sokongan penuh kepada Abdullah dalam memimpin negara dan Umno.
Malam ini, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam bersama rakyat di Kompleks Belia dan Kebudayaan di Shah Alam.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Perdana Menteri memulakan lawatan seharinya ke Selangor hari ini dengan mengunjungi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Selangor Veggie Park di Hulu Yam pagi ini.
Jamuan rakyat
Beliau diberi taklimat mengenai TKPM oleh Pengarah Jabatan Pertanian Selangor Zam Abdul Karim. Perdana Menteri menyaksikan upacara menandatangani surat hasrat antara pasaraya Giant dan Hulu Yam Fresh, syarikat yang memasarkan produk TKPM dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Abdullah kemudian melakukan upacara simbolik pelepasan lori Fama yang akan digunakan untuk memasarkan produk sayuran itu serta demonstrasi penggunaan jentera dan memotong sayur di batas.
TKPM, Selangor Veggie Park itu yang berkeluasan 220.36 hektar, diusahakan oleh 38 peserta dari seluruh Selangor. Setiap peserta mengusahakan antara dua hingga 10 hektar dan mampu mengeluarkan sayuran sehingga 80 metrik tan sehari.
Dalam satu atur cara yang padat, Abdullah antara lainnya, dijadual mengunjungi Pusat Latihan dan Penetasan Ikan Air Tawar PKPS Bukit Tinggi Sdn Bhd di Rawang dan Pusat Tanaman Herba, Selangor Herbatorium yang terletak berhampiran.
Beliau juga dijadual melawat Selangor Feedlot Centre, sebuah pusat penternakan kambing dan lembu selain melawat projek ternakan cacing dan baja kompos di Kuala Selangor. Lawatan sehari Perdana Menteri ke Selangor akan berakhir dengan menghadiri majlis makan malam bersama rakyat malam ini.

