Pak Lah bayar saman lalulintas
Terjemahan Seperti yang beliau janjikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membayar samannya berjumlah RM1,000 bagi kesalahan memandu melebihi had laju, meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan serta menghalang lalulintas.
Terjemahan Seperti yang beliau janjikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membayar samannya berjumlah RM1,000 bagi kesalahan memandu melebihi had laju, meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan serta menghalang lalulintas.
Denda bagi 11 kesalahan lalulintas yang dilakukan di antara 29 Jun hingga 3 Ogos 2003 pada asalnya berjumlah RM3,300, tetapi dikurangkan kepada RM1,000 selepas ditolak diskaun oleh pihak polis.
Saman tersebut membabitkan tiga buah kereta WJB2800, WLP3142 dan WCH13 semua didaftarkan di bawah nama Abdullah.
Salah sebuah daripadanya WJB 2800 dikenakan lima saman dalam tempoh satu tahun dan dua lagi saman pada tahun berikutnya. Kesalahan lalulintas itu dilakukan di Kuala Lumpur, Ampang, Sepang dan Petaling Jaya dalam tempoh empat tahun.
Antara kesalahan tersebut termasuk lima kesalahan memandu melebihi had laju, lima kesalahan menghalang lalulintas dan dua kesalahan meletak kenderaan.
Sabtu lalu, Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berkata beliau tidak menyedari tentang saman tersebut sehinggalah dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan.
"Ya, saya diberitahu mengenai perkara tersebut. Saya akan membayar semua saman tersebut pada hari Isnin," katanya kepada pemberita.
Abdullah berkata, beliau juga akan menyiasat siapakah yang memandu kereta-kereta tersebut ketika kesalahan itu dilakukan.
Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan, perdana menteri telah dikenakan saman bagi 11 kesalahan lalulintas selepas semakan dibuat di lamanweb rilek.com.my yang menyiaran butiran mengenai kesalahan lalulintas.
Tidak menyedarinya
Sementara itu, pihak polis mengakui mungkin berlaku kesilapan dalam sistem komputer yang mengesan saman yang dikeluarkan bagi kesalahan lalulintas.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mustafa Abdullah hari ini dipetik oleh akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau sebagai berkata, sesetengah individu mungkin tidak menyedari telah melakukan kesalahan lalintas kerana saman tidak dikeluarkan dan tidak dihantar kepada mereka.
Kebanyakannya membabitkan mereka yang dirakamkan oleh kamera polis ketika memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat.
"Ini adalah masalah biasa. Contohnya saya sendiri. Saya tidak menerima sebarang saman dan tidak tahu yang saya melakukan kesalahan, tetapi rekod saya ada dalam sistem tersebut," katanya sambil menambah, pihak polis akan mengatasi masalah tersebut.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang membangkitkan soal saman lalulintas yang membabitkan perdana menteri itu menggesa pihak polis supaya berhenti gerakan menahan pesalah lalulintas yang tidak membayar saman mereka, sehinggalah masalah tersebut dapat diselesaikan.
Menurut pihak polis, saman lalulintas berjumlah RM2.82 bilion yang dikeluarkan antara tahun 2001 hingga 2004, tidak dibayar oleh 9,407,138 pesalah lalulintas.
Ketua Polis Lalulintas Bukit Aman, Supt A Wahab A Rahman berkata, polis mengeluarkan 19.8 juta saman dalam tempoh empat tahun, tetapi hanya 52.7 peratus atau 10.4 juta saman daripadanya, yang dibayar setakat ini.
Isnin lalu, polis melancarkan Ops Warta IV sehingga 5 Ogos depan, untuk mengesan pemandu yang gagal membayar saman mereka. Berita asal

