Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin: Bukan ugutan, tapi peringatan kerjasama pusat dan negeri penting
Diterbitkan:  May 5, 2020 11:02 PM
Dikemaskini: 3:33 PM

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali berkata kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan negeri terdedah dengan tindakan undang-undang daripada pihak industri sekiranya enggan membuka semula ekonomi bukanlah ugutan.

Sebaliknya, kata Azmin, ia adalah peringatan bahawa kerjasama kerajaan negeri diperlukan untuk memulihkan negara.

"Ini bukan satu ugutan, tapi sebagai suatu peringatan bahawa kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri amat penting untuk mengimbangi kesihatan rakyat dan memulihkan negara.

"Tak ada sesiapa dapat menafikan dua-dua ini amat penting untuk kita berikan pertimbangan yang bertanggungjawab," katanya.

Azmin, yang merupakan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), berkata demikian dalam rancangan bual bicara Astro Awani malam ini mengenai topik menghidupkan semula ekonomi.

Semalam, Azmin memberi peringatan bahawa kerajaan negeri terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pihak industro sekiranya tidak membuka ekonomi seperti ditetapkan kerajaan persekutuan di bawah perintah kawalan pergerakan bersayarat (PKPB) bermula 4 Mei.

Dilaporkan sebelum ini, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak enggan mematuhi PKPB, dengan kebanyakannya membuat keputusan untuk terus mengekalkan PKP4 yang akan berakhir 12 Mei.

Bagaimanapun, Kedah dan Kelantan bersetuju hari ini untuk melaksanakan PKPB dengan serta merta seiring dengan keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan persekutuan.

Selangor telah mengubah suai PKPB, dengan beberapa ketetapan tertentu tambahan yang berbeza dengan ditetapkan kerajaan pusat, termasuklah tidak membenarkan pelanggan makan di restoran.

Menteri Besarnya Amirudin Shari hari ini mempertahankan keputusan itu dan menyatakan bahawa Selangor mempunyai kuasa untuk melakukannya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mendakwa bahawa Putrajaya tidak menyediakan 13 kerajaan negeri masa yang cukup untuk membuat persiapan.

Sementara Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal hari ini bertegas bahawa negeri itu akan terus melaksanakan PKP sehingga 12 Mei. Begitu juga dengan Sarawak.

Azmin dalam bual bicara malam ini menekankan perlunya hubungan berterusan antara Putrajaya dan kerajaan negeri.

"Engagement (keterlibatan) suatu proses yang berterusan, bukan dalam konteks ini dan selesai di situ. Perdana menteri telah mengambil satu pendirian yang cukup positif dan berlapang dada dalam banyak mesyuarat Majlis Keselamatan Negara sebelum 28 April yang lalu, yang melibatkan menteri-menteri besar," katanya.

Ketua menteri Pulau Pinang hari ini membidas Azmin sebagai pemalas kerana menurutnya menteri itu gagal berunding dengan negeri.

“Saya ingin bertanya kepada menteri kanan berkenaan, apa yang beliau harapkan apabila - sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab - begitu malas untuk melibatkan semua kerajaan negeri bagi mencapai kata sepakat mengenai pelaksanaan PKPB ini,” kata Chow.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS