Kes koronavirus di Asia meningkat kepada suku juta pada Selasa lalu berikutan penularan wabak di Singapura, Pakistan dan India walaupun penularan yang perlahan di China, Korea Selatan dan Jepun.

Meskipun pandemik koronavirus dilaporkan bermula di Wuhan, China, tetapi di Asia secara keseluruhannya mengambil masa kira-kira empat bulan untuk mencapai jumlah 250,650 jangkitan, berbanding Sepanyol yang mencapai angka tersebut sekitar dua bulan sejak kes pertama dilaporkan di negara tersebut.

Angka jangkitan di Asia juga jauh lebih baik dari jumlah keseluruhan jangkitan yang berlaku di Amerika Utara dan Eropah.

Asia kini hanya mencatatkan 7 peratus daripada kes global, berbanding 40 peratus di Eropah dan 34 peratus di Amerika Utara, walaupun pakar bimbang jangkitan yang tidak dilaporkan menutupi bilangan kes yang sebenar.

Jangkitan boleh berlaku dengan pesakit hanya menunjukkan gejala ringan dan tidak semua individu yang mempunyai gejala menjalani ujian saringan, sementara kebanyakan negara mencatatkan kematian di hospital, di mana kematian di rumah dan pusat jagaan belum lagi dicatatkan.

Angka kematian di Asia juga semakin menurun di kebanyakan negara dan kini menghampiri 10,000 di Asia secara keseluruhan, yang mencatatkan 4 peratus kematian di seluruh dunia.

Manakala Eropah pula mencatatkan 57 peratus dan Amerika Utara sebanyak 29 peratus kematian.

Sementara itu, Sepanyol, Itali, United Kingdom dan Perancis masing-masing mencatatkan lebih daripada 25,000 kematian. 

Amerika Syarikat mendahului jumlah itu dengan 70,000 kematian.