Angkatan Muda PKR perjelas laporan Utusan dan The Star
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat hari ini memperjelaskan dua laporan dalam akhbar Utusan Malaysia dan akhbar The Star mengenai laporan berhubung aduan polis yang dibuat oleh pergerakan tersebut terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat hari ini memperjelaskan dua laporan dalam akhbar Utusan Malaysia dan akhbar The Star mengenai laporan berhubung aduan polis yang dibuat oleh pergerakan tersebut terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Naib Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pada 10 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak agar Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Hasutan.
"Manakala The Star pula menyiarkan pada 12 Jun lalu, kenyataan Dr Mahathir yang kecewa dengan tindakan kami melabel kritikan beliau terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai zalim," kata dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau memperjelaskan bahawa desakan agar Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran tindakannya mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak terkandung dalam laporan polis pergerakan itu pada 9 Jun 2006.
Ia juga, tambah beliau, tidak terkandung dalam kenyataan media bertulis dan kenyataan lisan beliau yang dibuat kepada wartawan sejurus selepas penyerahan laporan polis tersebut.
"Kami sebaliknya meminta pihak polis agar menyiasat kenyataan Dr Mahathir yang disiarkan dalam lamanweb Malaysiakini.com bertarikh 7 Jun 2006, yang antara lain, merujuk kepada bagaimana wang Petronas dibelanjakan secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri," katanya.
Katanya, pergerakan itu juga meminta agar pihak polis menyiasat kenyataan Tan Sri Ani Arope, bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 7 Jun 2006.
Kontrak pada IPP
Kenyataan tersebut, tegasnya, telah mengaitkan Dr Mahathir dengan dakwaan pemberian kontrak pembekalan tenaga elektrik kepada Pengeluar Kuasa Bebas yang mana terma-terma perjanjiannya merugikan TNB dan pengguna.
"Laporan polis tersebut dibuat atas kesedaran kami bahawa kerajaan bertanggungjawab menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan wang rakyat sama ada penyalahgunaan itu berlaku di era Dr Mahathir atau di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," tambahnya.
Sehubungan, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak sesekali tidak berminat untuk terlibat dalam perbalahan peribadi antara Dr Mahathir dan Abdullah.
"Kami juga menegaskan bahawa penggunaan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan adalah bertentangan dengan nilai-nilai pemerintahan demokratik yang kami dokong," tambahnya.
Pergerakan itu juga, katanya, menggesa Perdana Menteri supaya mengumumkan jumlah wang rakyat yang telah dibelanjakan untuk pelaksanaan projek-projek mega di negara ini sejak zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga pentadbiran sekarang.
"Kami juga mencadangkan kepada Perdana Menteri agar menubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat antara lain, pendedahan Dr Mahathir mengenai perbelanjaan secara sewenang-wenangnya wang Petronas untuk membiayai projek-projek mega seperti pembinaan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya," kata Shamsul Iskandar.

