Sebahagian besar responden dalam kaji selidik yang dijalankan kerajaan berkata kesihatan mereka menjadi keutamaan mereka dalam berhadapan wabak Covid-19.

Menurut survey khas yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, 90.9 peratus daripada responden menyatakan kesihatan dan nyawa mereka menjadi keutamaan semasa wabak itu.

Hanya 4.6 peratus daripada responden mengatakan pendapatan yang diperoleh daripada bekerja atau perniagaan mereka sebagai keutamaan. Sebanyak 4.5 peratus responden lagi mengatakan kehidupan kembali normal menjadi keutamaan mereka.

Ketua Perangkawan Malaysia Mohd Uzir Mahidin berkata dapatan itu adalah berdasarkan maklum balas Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang dijalankan bagi responden berumur 15 tahun ke atas secara dalam talian pada 10 hingga 24 April 2020.

Sementara itu sebanyak 87.83 responden berkata, mereka berpuas hati dengan pakej rangsangan ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dilaksanakan kerajaan.

Sebanyak 9.1 peratus reponden berpendapat ia berkesan sepenuhnya kerana dapat menghilangkan beban kewangan yang dihadapi ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun sebanyak 12.7 peratus responden lagi tidak berpuas hati dengan pakej ekonomi tersebut.

Seramai 41,386 responden berumur 15 tahun ke atas telah menyertai survei khas yang dijalankan secara atas talian itu.

75.3 peratus sangat puas hati dengan barisan hadapan

Dalam usaha menangani Covid-19, sebanyak 75.3 peratus responden sangat berpuas hati dengan petugas kesihatan (frontliners) dan fasiliti kesihatan yang disediakan kerajaan.

Sebanyak 20.8 peratus berkata mereka berpuas hati manakala 3.3 peratus bersikap neutral, 0.4 peratus tidak berpuas hati dan 0.1 peratus sangat tidak berpuas hati.

Sebahagian besar atau 96.3 peratus responden mengakui bahawa wabak berkenaan telah mengubah gaya hidup mereka.

Daripada 38,455 responden yang bersedia untuk mengekalkan gaya hidup sekarang, 93.6 peratus berkata akan meningkatkan penjagaan kebersihan/ hygiene, diikuti dengan mengehadkan aktiviti sosial (83.3 peratus) dan mengehadkan aktiviti pelancongan (67.1 peratus).

Sebanyak 42.6 peratus mengatakan mereka kini bekerja dari rumah manakala 20.3 peratus lagi mengatakan mereka bekerja secara bergilir atau mengikut keperluan bergaji penuh.

Sebanyak 2.5 peratus responden mengatakan mereka bekerja secara bergilir atau mengikut keperluan bergaji penuh, 8.4 peratus sedang cuti bergaji penuh manakala tiga peratus responden lagi mengambil cuti separuh gaji.

Manakala sebanyak 1.5 peratus responden berkata mereka telah diberhentikan kerja.

Selain itu, 21.6 peratus responden adalah terdiri daripada kalangan bukan pekerja seperti pelajar dan suri rumah.

Susulan kesan Covid-19 ini, kebanyakan institusi pendidikan telah mengadakan sesi pembelajaran secara atas talian.

Kajian yang dilakukan mendapati secara purata 67.5 peratus responden atau anak mereka melaksanakan sesi pembelajaran atas talian dalam tempoh 1 sehingga 5 jam sehari sepanjang PKP.

Sebanyak 46.3 peratus responden menyatakan waktu capaian pembelajaran atas talian adalah lebih pantas pada siang hari iaitu di antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.