Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM sasar penurunan kes baru kepada 1 angka bermula 12 Mei

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berharap sasaran satu digit kes baru Covid-19 boleh dicapai pada 12 Mei ini.

Beliau berkata Malaysia terlambat seminggu bagi mencapai sasaran itu.

"Sekarang kita boleh kurangkan kes (baru setiap hari) kepada dua angka. Jika kita lihat kepada model (yang dibuat KKM), kita sudah tertinggal seminggu.

"Kita anjakkan (sasaran) mungkin kepada 12 Mei untuk capai kes dua angka (yang lebih rendah) atau satu angka," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau menjawab soalan berkenaan unjuran KKM sebelum ini bahawa Malaysia akan menyaksikan kes baru sebanyak satu angka sahaja bermula 5 Mei (semalam).

Katanya lagi, apa yang penting adalah kes baru dalam jumlah yang terkawal agar kemudahan kesihatan dapat menampungnya.

Beliau juga menegaskan bahawa usaha yang dilakukan sepanjang tiga fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) telah membuahkan hasil, iaitu penurunan jumlah pesakit di hospital, termasuk yang memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata objektif penguatkuasaan tiga fasa PKP telah tercapai, iaitu untuk melandaikan keluk jangkitan Covid-19.

Katanya, penerusan PKP selepas objektif tercapai memakan kos yang terlalu besar.

"Saya dimaklumkan sehari sahaja kita kerugian RM2.5 bilion ketika PKP.

"Sekarang tujuan utama telah tercapai, telah landaikan graf (jangkitan) daripada tiga angka kepada dua angka. Kalau kita lihat PKP fasa tiga, selama 13 hari (kes baru) dua angka," katanya.

Di bawah PKP bersyarat yang bermula Isnin lalu, Noor Hisham berkata strategi melawan Covid-19 sudah berubah ke arah menggesa orang ramai untu kekal jika tiada urusan penting, pada masa sama membenarkan sektor ekonomi kembali dibuka.

Beliau turut menekankan kepatuhan terhadap PKP dan prosedur operasi standard (SOP) KKM amat penting bagi mengelakkan penularan wabak dalam komuniti terus berlaku.

"Kaedah ini diamalkan di Taiwan dan Korea Selatan dan mereka berjaya. Sekarang difahamkan Vietnma kuga melaksanakan PKP bersyarat berbanding PKP (sepenuhnya.

"Kenapa mereka boleh berjaya tanpa ada halangan terhadap ekonomi mereka? Mungkin salah satu sebabnya negara ini telah melalui peperangan, mereka tahu penting untuk patuh kepada SOP untuk (kelangsungan) hidup," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS