Malaysiakini
BERITA

Adun Chini Abu Bakar Harun meninggal dunia

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Mei 2020, 2:01 pagi

Ahli Dewan Undangan Negeri Chini Abu Bakar Harun telah meninggal dunia pada usia 60 tahun di Hospital Kuala Lumpur dinihari tadi.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan hal ini.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Mendapat perkhabaran berita sedih pemergian seorang sahabat dan rakan seperjuangan, Abu Bakar Bin Harun (Ahli Dewan Negeri Chini) yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini.

"Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," kata beliau pada hantaran di Facebook.

Wan Rosdy menzahirkan salam takziah kepada keluarga allahyarham Abu Bakar, berkata "semoga tabah menghadapi ujian ini. Al-Fatihah."

Allahyarham Abu Bakar meninggalkan isteri Razana Fatin [email protected] dan menurut laporan Bernama difahamkan dua orang anak, hasil perkahwinan pertama arwah. 

Jenazah Abu Bakar akan dibawa pulang dari Kuala Lumpur untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Chini lewat pagi ini. 

Abu Bakar pernah berkhidmat sebagai exco kerajaan Pahang dari 2013 ke 2018.

Beliau menang kerusi Chini dengan 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi dan calon Bersatu Mohamad Razali Ithnain yang memperolehi 1,065 undi pada pilihan raya umum lalu.

Ketiga-tiga parti sekarang menyertai kerajaan Perikatan Nasional.

Chini merupakan salah satu dari empat kerusi DUN di parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib masih menang besar di parlimen Pekan pada PRU14 walau pun ketika itu dibayangi skandal rasuah 1MDB.


Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.