Undi pos, terutama yang membabitkan anggota tentera, tidak sesuai diamalkan lagi kerana negara bukan dalam peperangan atau berada dalam keadaan darurat, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Sebaliknya, kata beliau, undi pos lebih cenderung untuk membantu kerajaan memenangi kerusi di kawasan yang menjadi kubu kuat pembangkang.

Nasharuddin berkata, PAS sudah meminta supaya undi dihapuskan sejak pilihanraya umum 1999 lagi tetapi, katanya, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mahu melaksanakannya.

"Setiap kali ada pilihanraya umum PAS akan bertemu SPR meminta supaya undi pos dihapuskan kerana ia terdedah kepada pelbagai penyelewengan dan menguntungkan parti pemerintah.

"Menjelang pilihanraya umum 1999 dan 2004, PAS bertemu dengan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan beliau berjanji untuk mempertimbangkan cadangan menghapuskan undi pos tetapi hasilnya tidak ada," katanya.

Nasharuddin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng supaya undi pos dihapuskan dengan alasan ia tidak menyumbang kepada satu pilihanraya yang bersih kerana sering dikaitkan dengan dakwaan berlaku pembelian undi.

Wong berkata DAP berharap SPR akan bersetuju dan memperkenalkan satu cara lain yang lebih baik.

Bersihkan senarai pemilih

Beliau juga meminta SPR membersihkan senarai pemilih bagi Sarawak kerana mendakwa masih banyak nama pengundi yang sudah meninggal dunia dalam senarai itu yang digunakan dalam pilihanraya negeri bulan lalu.

Katanya, DAP sedia membantu SPR dalam urusan ini dan akan merayu kepada pengundi supaya mengemukakan nama ahli keluarga yang sudah meninggal dunia supaya nama mereka dapat dikeluarkan daripada senarai pemilih.

Sementara itu, Nasharuddin menambah, beberapa cadangan PAS yang lain, termasuk penggunaan sejenis dakwat kekal seperti yang digunakan dalam pilihanraya umum Indonesia ditolak SPR dengan alasan ia ketinggalan zaman.

Beliau mendakwa, tindakan-tindakan SPR menjurus kepada melaksanakan arahan pihak pemerintah dan bukannya memastikan pilihanraya yang adil dan bersih.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya membantah keras penggunaan undi pos kerana ia merupakan satu bentuk rasuah pilihanraya.

Katanya, undi pos boleh dibeli dan ia bukan lagi kes terpencil sebaliknya sudah diketahui umum di negara ini.

Shamsul berkata, di Singapura, rakyat republik itu cuma mempertikaikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) tetapi tidak pernah mempersoalkan proses demokrasi yang diamalkannya.

Katanya, PKR amat berharap SPR memandang serius mengenai undi pos tersebut dan mengambil langkah segera menghapuskannya bagi memastikan proses pilihanraya yang adil dan bersih.