Dua projek pembinaan membabitkan Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa (MRT2) kembali memulakan operasinya.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, berkata dua projek terbabit dijangka dapat merancakkan kembali ekonomi negara selepas terjejas ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Dua projek yang telah disebutkan dan dimumkan perdana menteri baru-baru ini ialah projek ECRL dan MRT2 ini, lebih kurang perjalanan kerja-kerja pembinaan sudah bermula.

"(Ia) antara projek yang kita nak pastikan perjalanan dengan baik dan dapat merancakkan ekonomi kita.

"Kalau kita melibatkan swasta semata-mata kita tak ada dapat merancakkan ekonomi kita," katanya dalam satu program temu bual "Hello-Hello" yang disiarkan di Facebook hari ini.

Program berkenaan dihoskan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN.

Ahmad Zahid ketika sesi temu bual itu bertanya kepada Wee tentang pembinaan projek yang membabitkan sektor pengakutan awam itu yang sebelum ini ditangguhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Wee memaklumkan projek ECRL menelan belanja kira-kira RM44 bilion, manakala MRT2 RM16.5 bilion.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu, mengumumkan bahawa beberapa projek projek mega akan terus dilaksanakan di bawah pakej rangsangan ekonomi RM250 bilion yang diumumkan kerajaan.

"Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk ECRL, MRT2 serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara.

"Usaha ini selaras dengan fokus kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (Prihatin) yang disiarkan secara langsung melalui siaran televisyen.

Dalam pada itu Wee memaklumkan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) dijangka akan dimuktamadkan pada 31 Julai nanti selepas rundingan dengan Singapura selesai.

Katanya rundingan antara kedua negara sudah dilakukan dan rundingan berterusan itu akan berlangsung sehingga Julai nanti.

"Kita bersetuju rundingan berterusan dan kita akan muktamadkan pada 31 Julai.

"RTS kita sudah ada sedikit kelonggaran apabila kedua-dua negara telah bersetuju, kita lanjutkan rundingan 90 hari untuk memuktamadkan tiga perjanjian yang nak kita tandatangani," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.