Terjemahan Tempoh penahanan ke atas lapan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang tamat semalam dipercayai telah disambung selama dua tahun lagi.

Kelapan-lapan mereka Azmi Khan Mahmood, Jaafar Saldin, Mat Sah Mohd Satray, Shakom Shahid, Yusrin Haiti, Mazlan Ishak, Syed Ali Syed Abdullah dan Shamsuddin Sulaiman ditahan di bawah ISA sejak April 2002.

Dalam memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa penahanan terhadap mereka telah dilanjutkan.

Sehubungan itu, GMI menuntut penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berhubung keputusan tersebut.

Menurut GMI, dua lagi tahanan rakyat Indonesia yang juga disyaki anggota JI Ferry @ Muchlis Abdul Halim dan Agung Biyadi Ahmad Bunyamin telah dibebas dan dihantar pulang ke negara mereka.

"GMI mengutuk keputusan kerajaan melanjutkan tempoh penahanan kelapan-lapan tahanan dan penghantaran pulang dua yang lagi," kata memorandum tersebut yang ditandatangani oleh Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

"Menggunakan ISA merupakan cara mudah bagi kerajaan kerana sebarang keputusan yang dibuat, tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah," tambahnya.

Tiada pengumuman

Sambil menyifatkannya sebagai satu pelanggaran hak asasi manusia, GMI mengkritik kerajaan kerana gagal membuktikan jenayah yang didakwa dilakukan oleh para tahanan di mahkamah terbuka.

"Menuduh seseorang itu melakukan jenayah tanpa menunjukkan buktinya adalah satu fitnah, manakala menahan seseorang itu tanpa bicara dan tidak memberi peluang mereka untuk mempertahankan dirinya, adalah kejam," katanya.

GMI juga melahirkan rasa kecewa kerana pengumuman rasmi dibuat mengenai keputusan untuk melanjutkan tempoh penahanan mereka.

Sehubungan itu, katanya, GMI mengulangi gesaannya supaya kesemua tahanan ISA dibebaskan dan akta berkenaan dimansuhkan.

Gerakan itu juga meminta Suhakam supaya melaksanakan tugasnya untuk melindungi hak asasi manusia dan mendesak kerajaan kerajaan menjawab perkara asas mengenai penahanan dan perlanjutan penahanan mereka. Berita asal