Kementerian Luar bersedia mengubah status surat-menyurat yang dianggap rahsia bagi membolehkan rakyat mendapat penjelasan jelas mengenai semua persoalan yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan kementerian berkenaan.

"Saya fikir kerajaan cukup terbuka dan komited dan tidak mahu menyalahkan sesiapa untuk kita membuka perkara ini kepada rakyat bagi membuat penentuan," kata Menteri berkenaan Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Pada mulanya, kata beliau, kerajaan begitu berhati-hati untuk mengeluarkannya secara meluas kerana memikirkan kepentingan negara, sama ada ia akan mengkompromikan kedudukan negara memandangkan banyak isu tersebut merupakan isu kerajaan dan kerahsiaan kerajaan.

Syed Hamid berkata, Kementerian Luar akan menjelaskan semua persoalan berkaitan kementerian tersebut yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dalam tempoh masa terdekat ini.

Beliau berkata, kementeriannya akan menjelaskan semua perkara itu berasaskan fakta dan selepas itu terpulang kepada rakyat untuk membuat penghakiman sendiri keadaan sebenar.

"Kita akan jelaskan segala isu berbangkit yang Wisma Putra menjadi penyelaras, banyak isu hubungan Malaysia dan Singapura yang Wisma Putra memainkan peranan seperti dalam rundingan, menyelaraskan kedudukan kerajaan, perjanjian, tanah keretapi dan surat-menyurat," katanya.

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata demikian selepas menyampaikan taklimat bertajuk "Malaysia dan isu-isu hubungan antarabangsa semasa" di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Melaka sokong penuh PM

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa semua penjelasaan mengenai dakwaan yang dibuat oleh Dr Mahathir akan dijawab oleh kementerian-kementerian yang berkaitan.

Sebelum ini, Dr Mahathir meminta penjelasan mengenai beberapa perkara, termasuk banyak Permit Import (AP) yang dikeluarkan kepada dua orang yang tidak mempunyai bilik pameran kereta dan kedua-duanya menjual AP pada harga yang tinggi, menjadikan mereka sangat kaya dan tidak terlibat dengan perniagaan lain selain menjual AP.

Beliau juga mempersoalkan penjualan saham MV Agusta dan membatalkan projek jambatan kedua ke Singapura menggantikan Tambak Johor.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohamed Ali Rustam menyokong tindakan kementerian berkaitan untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan Dr Mahathir supaya ia dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memberi penjelasan berkaitan perkara tersebut kepada seluruh rakyat.

Sambil menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap kepimpinan Abdullah, Mohamed Ali mahu rakyat memberi tumpuan sepenuhnya dalam menjayakan Rancangan Malaysia Kesembilan.