Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu yang juga Presiden MIC memberi dua amaran semalam pertama kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan amaran kedua kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam.

Beliau memberi amaran kepada PAC supaya jangan campurtangan dalam hal kementeriannya kerana mereka berkemampuan menangani apa jua isu kerana ia mempunyai pegawainya sendiri untuk mengkaji apa-apa isu sebelum membuat keputusan dan tidak perlu campur tangan pihak lain.

Manakala kepada Subramaniam pula, Presiden MIC itu mengingatkan timbalannya itu bahawa ada hadnya untuk membuat tuduhan liar dan beliau tidak akan membiarkan pemimpin nombor dua parti itu memusnahkan MIC.

Berbalik kepada PAC, Samy berkata: "Tolonglah, biarlah kementerian membuat kerja-kerjanya. PAC pun mestilah ada hadnya, ia bukan pengendali kementerian ini. Kementerian ini ada menteri dan para pegawainya.

"Ketua Pengarah saya mempunyai banyak tanggungjawab. Kami tidak boleh ke sana setiap kali mesyuarat diadakan untuk menjawab pelbagai pertanyaan mereka. Saya mengarahkan mereka (PAC), jika mereka ada soalan, kemukakan secara bertulis dan kami akan menjawabnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi taklimat dengan pegawainya mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di kementeriannya semalam.

Samy Vellu menjawab soalan wartawan sama ada Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu berbincang untuk mengurangkan jumlah pampasan RM100 juta yang dituntut oleh Gerbang Perdana kontraktor yang dilantik membina lebuh raya lapan lorong bertingkat yang menghubungkan Johor Bahru dengan kompleks Kastam, Imigresen Kuarantin.

Kurangkan pampasan

Isnin lalu, Pengerusi PAC Datuk Shahrir Abdul Samad memberitahu wartawan bahawa jawatankuasa itu akan mencadangkan kepada JKR supaya berunding dengan Gerbang Perdana supaya mengurangkan pampasan tersebut berikutan pembatalan projek pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Menurut laporan Bernama, keputusan tersebut dicapai selepas jawatankuasa itu mendengar taklimat yang disampaikan oleh JKR di Bangunan Parlimen mengenai pembatalan projek jambatan separuh ke Singapura itu.

Sebagai respons kepada kenyataan Shahrir itu, Samy Vellu berkata kementerian itu tidak "buta" untuk memberikan saja RM100 juta yang diminta oleh kontraktor berkenaan.

"Kami bukan bodoh dan PAC pun sedar akan perkara itu. Mana-mana kontraktor pun boleh mohon RM100 juta tetapi kami tidak akan memberinya kepada mereka. Kami perlu mempertimbangkan permintaan mereka, berbincang dengan jurutera kami, melawat tapak (pembinaan) dan mendapatkan maklumat terperinci sebelum membuat apa-apa keputusan.

"Jika tidak, suruhlah pengerusi PAC duduk sini dan uruskan kementerian ini. Apabila beliau meluluskan apa-apa projek, kita akan melaksanakannya," kata beliau.

Samy Vellu berkata walaupun Kementerian Kerja Raya terlibat dalam pelaksanaan projek, namun kata pemutusnya terletak kepada Kementerian Kewangan.

Projek dan tender

"Kami hanya ejen pelaksana bagi pihak Kementerian Kewangan bagi semua projek dan tender. Saya tidak mahu mana-mana pihak lain campurtangan dan mengganggu kerja-kerja kami," katanya.

Beliau berkata cadangan Shahrir supaya kementerian itu membeli rumah-rumah di kawasan Sungei Besi yang terlibat dengan pembinaan projek Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya juga tidak munasabah.

"Apabila kita mengambil balik mana-mana tanah untuk melaksanakan projek, kita membayar pampasan yang sewajarnya tetapi bukannya rumah-rumah yang terletak berhampiran projek itu. Takkan pengerusi PAC tidak tahu perkara itu...

"Suatu hari nanti apabila kita membina projek yang melalui Kuala Lumpur, adakah kita perlu membeli seluruh Kuala Lumpur untuk membina jalan? Siapa yang nak bayar? Beliau sepatutnya lebih bertanggungjawab," kata Samy Vellu.

Mengenai Subramaniam pula, Samy Vellu berkata: "Saya perlu beri amaran kepadanya bahawa ada had untuknya memusnahkan parti. Saya sudah bertahun-tahun berkhidmat untuk bangunkan parti. Beliau (Subramaniam) tidak berbuat apa-apa untuk parti.

"Saya tidak akan biarkan beliau memusnahkan parti. Sila ambil perhatian," kata presiden MIC itu, yang juga Menteri Kerja Raya pada sidang media di sini Selasa.

Samy Vellu mengulas dakwaan Subramaniam Isnin bahawa kamera akan dipasang di tempat mengundi sewaktu pemilihan parti 24 Jun ini bagi merakam gambar perwakilan mengundi dan pada masa yang sama melihat siapa mengundi siapa.

Samy: Subra menyusahkan...

Subramaniam dicabar oleh naib presiden parti Datuk G Palanivel yang merupakan pilihan presiden untuk jawatan nombor dua itu. Subramaniam juga mendakwa perwakilan akan diminta membawa kamera atau telefon berkamera ke kawasan mengundi untuk merakam gambar mereka memangkah kertas undi.

"Dia memang menyusahkan. Anda boleh laporkannya dalam akhbar. Beliau (Subramaniam) benar-benar menyusahkan. Beliau tidak menghormati parti, tidak menghormati demokrasi, tidak menghormati jawatankuasa pemilih yang beliau menganggotai dan meluluskannya.

"Jika takut kalah, lebih baik berdiam diri. Itu yang terbaik. Beliau mendakwa ada pihak yang memberitahunya... siapa mereka," kata Samy Vellu.

Menteri Kerja Raya itu berkata taktik begitu bukan biasa dalam MIC, Subramaniam mungkin menggunakan kaedah itu semasa menang jawatan setiausaha agung parti pada 1970-an.

"Adakah beliau pasang kamera? Seseorang perlu faham. PWTC (tempat pemilihan) bukan bangunan kita, jika ia bangunan kita, anda bolehlah kata kita pasang 100 kamera semasa membinanya, siapapun yang masuk, kita boleh rakam gambar. Kita bukan rejim atau gestapo untuk berbuat demikian," katanya.

Samy Vellu berkata Subramaniam mesti "tidak berfikir panjang" kerana buat dakwaan seperti itu dan ada yang terbitkannya untuk menjual akhbar.

"Biarkan dia terus buat namun ia ada hadnya... Saya harap anggota parti cari penyelesaian terhadap perkara itu," katanya