Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memberi jaminan, walaupun apa yang berlaku, Selangor tetap berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, termasuk bagi merealisasikan Wawasan 2020.

"Jangan ada sekelumit pun rasa gundah-gulana ketika Pak Lah memimpin negara. Walaupun apa yang datang kami berikrar berdiri teguh di belakang Pak Lah," kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional Selangor dan Badan Perhubungan Umno negeri.

Berucap di majlis makan malam bersama rakyat di Shah Alam semalam, sempena lawatan sehari Perdana Menteri ke Selangor, Dr Mohd Khir berkata Abdullah telah mendapat mandat besar dan sokongan rakyat Malaysia yang tidak berbelah-bagi dalam membawa negara ke tahap yang lebih baik.

"Kita menyokong dan mendukung kepimpinan Perdana Menteri terutama dalam kenyataan beliau baru-baru ini bahawa perhatian penuh perlu diberikan bagi melaksanakan segala janji dan manifesto kerajaan Barisan Nasional.

"Rancangan Malaysia Kesembilan yang merupakan misi nasional untuk merealisasikan matlamat negara, penting kerana ia akan menentukan sama ada kita akan muncul sebagai negara maju atau tidak suatu hari nanti," katanya.

Menurut laporan Bernama, Dr Mohamad Khir berkata segala usaha yang dilakukan Perdana Menteri itu seperti memperkenalkan Islam Hadhari, juga bertepatan dalam membangunkan rakyat serta memajukan pembangunan modal insan kerana kemajuan negara tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata malah turut membabitkan pembangunan modal insan.

"Pak Lah sebagai pemimpin utama negara amat tajam sekali pemikiran dan beliau tahu arah tuju yang harus dibawa untuk rakyat dan oleh sebab itu, rakyat menyokong dan berdiri teguh di belakang kepimpinan beliau," katanya.

Bantu petani

Beliau berkata Abdullah juga telah meletakkan sektor pertanian sebagai penyumbang utama kemajuan ekonomi negara dan melakukan banyak pemodenan dalam sektor itu yang membantu petani serta penduduk luar bandar.

"Hasil ketegasan Pak Lah dalam kemajuan pertanian telah membuktikan bahawa perancangan rapi beliau, termasuk penggunaan teknologi, berjaya membangunkan sektor pertanian yang berdaya saing dan maju dan sekaligus melipatgandakan hasil pengeluaran," katanya.

Sementara itu, Abdullah dalam ucapannya berkata, sokongan padu yang diterimanya, memberi kekuatan kepada kerajaan pimpinannya untuk menjayakan perjuangan dan rancangan bagi merealisasikan Wawasan 2020.

Beliau berkata kerajaan merangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang komprehensif dan konkrit setelah mendapat sokongan politik dan mandat rakyat melalui pilihan raya bagi membolehkan negara mencapai misi negara maju pada 2020.

"Sejak kemenangan besar (pilihan raya) 2004, saya telah fikir, kerajaan telah fikir, apa yang perlu kita dilaksanakan secara konkrit, komprehensif dan tersusun, bukan ad-hoc atau sambil-sambilan. Kita dapat bentangkan RMK-9 yang akan didukung oleh misi nasional untuk mencapai visi 2020 negara," katanya.

Abdullah berkata beliau berterima kasih dan menghargai sokongan yang diberikan kerana ia membolehkan kerajaan meneruskan perjuangan bangsa dan negara dan memenuhi harapan rakyat.

"Kerana ada sokongan yang diberikan, ia memberi kekuatan kepada kita untuk menjayakan perjuangan bangsa untuk menjadikan negara makmur, aman dan maju." katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama rakyat di sini hari Selasa sempena lawatan sehari beliau ke Selangor.

Rancangan komprehensif

Abdullah juga berkata semua pihak perlu melaksanakan peranan masing-masing secara tersusun, menerusi satu pemikiran, satu langkah, satu rentak dan matlamat untuk melaksanakan segala perancangan.

Beliau berkata tumpuan sepenuhnya perlu diberikan untuk menjayakan dan melaksanakan semua rancangan yang telah dirangka.

"Inilah yang mesti kita beri perhatian dan tumpuan dalam perjuangan, tumpuan pemikiran. Kita mesti berjaya. Kegagalan bukan satu opsyen yang ada pada diri kita. Yang ada hanya peluang untuk berjaya," katanya.

Perdana Menteri berkata ada negara yang tidak boleh maju kerana tidak mempunyai perancangan yang tersusun dan komprehensif.

"Kita tahu ada negara yang tidak maju kerana tidak ada perancangan. Ada kerajaan tetapi perancangan tidak ada. Jadi bagaimana untuk negara itu maju walaupun ada pemerintahnya," katanya.

Abdullah berkata sekiranya rakyat ingin menikmati keamanan dan kemajuan serta keselamatan, mereka tidak ada pilihan selain menjalin hubungan yang erat dengan semangat muhibah.

"Apa yang jadi kepada negara ini pada masa depan bergantung kepada kita semua, bukan bangsa lain. Saudara sokong saya, saya sokong saudara kerana kita sebenarnya tenaga untuk menjayakan perjuangan bersama," katanya sambil melaungkan "Hidup Malaysia", "Malaysia Boleh", "Malaysia Maju" dan "Bangsa Kita Maju" dan disambut sorakan sokongan lebih 5,000 hadirin.