Seorang bekas menteri dan ahli politik kanan berkata, sehingga kini belum ada mana-mana pemimpin yang layak menjadi perdana menteri tanpa memilliki "DNA Umno".

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani, Ahmad Shabery Cheek, berkata sama ada Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim, semuanya datang dari "kilang Umno".

"Sehingga kini, belum ada sesiapa pun yang layak menjadi perdana menteri Malaysia tanpa ada DNA Umno di dalamnya.

"TSMY (Muhyiddin) Tun M (Mahathir), atau DSAI (Anwar) kini di luar Umno, mengkritik Umno, namun tiada siapa boleh nafikan dalam darah mereka mengalir DNA Umno yang kuat.

"Parti-parti lain seperti DAP, PAS atau PKR belum mampu melahirkan seorang material perdana menteri tanpa DNA Umno," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Untuk rekod Muhyiddin adalah bekas timbalan presiden Umno yang dipecat daripada parti itu ketika Umno di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Mahathir pula meninggalkan Umno selepas tidak berpuas hati dengan kepemimpinan Najib yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Peluk lepas keluar Umno

Muhyiddin dan Mahathir menubuhkan parti Bersatu bagi menentang BN dan Umno yang diterajui Najib dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 (PRU14).

Anwar yang juga presiden PKR disingkirkan daripada Umno ketika parti itu diterajui Mahathir yang juga perdana menteri keempat.

Anwar yang ketika itu timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden Umno mencetuskan reformasi apabila disingkirkan daripada parti itu.

Bagi meneruskan perjuangan dan karier politiknya Anwar telah menubuhkan PKR.

Dalam PRU lalu, Muhyiddin, Mahathir dan Anwar bergandingan dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menumbangkan kerajaan BN.


Baca 'Akur saja calon MB Terengganu pilihan Najib'


Untuk rekod, Ahmad Shabery pula bukanlah meningkat bersama Umno sejak awal kerana sebelum itu beliau menyertai Parti Semangat 46 yang dipimpin Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Kedua-dua mereka serta sebahagian besar anggota parti itu kemudian menyertai Umno selepas gagal mendapat sokongan yang signifikan dalam kalangan orang Melayu.

Dalam pada itu Ahmad Shabery berkata Umno bukan sekadar parti politik, sebaliknya sekolah politik yang unik membina pengalaman untuk menjadi matang dan mampu membina ketahanan fizikal dan mentalnya.

Jelas bekas anggota parlimen Kemaman itu lagi ramai orang mencemuh Umno dengan pelbagai gelaran termasuk rasuah dan perompak, namun yang dipeluknya juga adalah bekas pemimpin Umno.

"Ramai yang mencemuh Umno dengan pelbagai gelaran. Termasuk gelaran rasuah dan perompak.

"Namun pemimpin yang mereka selar segera menjadi suci untuk dipeluk sebaik sahaja meninggalkan Umno," katanya lagi.